DUN Sabah : RM3.61 Bilion Diperuntukkan Laksana JENDELA Di Sabah

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 47 Second

KOTA KINABALU : Sebanyak RM3.61 bilion diperuntukkan kepada Sabah bagi melaksanakan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) Fasa Satu (2020-2022) sepanjang tempoh Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) .

Pembantu Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Dr Ruddy Awah berkata, ia merupakan sebahagian dari peruntukkan kerajaan sebanyak RM7.7 bilion yang melibatkan pembiayaan melalui Kumpulan Wang PPS di bawah seliaan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

“Peruntukan ini adalah termasuk pembinaan menara baharu, menaiktaraf menara kepada 4G, penyediaan gentian optik ke premis, dan penyediaan jalur lebar satelit.

“Melalui Pelan JENDELA di Sabah, sebanyak 607 menara baharu akan dibina untuk meluaskan liputan 4G di kawasan luar bandar dan pedalaman,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Tan Lee Fatt (DAP-Likas) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah disini hari ini.

Ruddy berkata sehingga 31 Januari lalu sebanyak 119 menara telah siap dilaksanakan dan sebagai tambahan, sebanyak 3,738 stesen pemancar sedia ada akan dinaiktaraf kepada 4G untuk meningkatkan kualiti liputan kepada pengguna.

Katanya, dari jumlah tersebut, sebanyak 3,128 stesen pemancar telah siap dinaiktaraf manakala bagi meluaskan dan meningkatkan kualiti perkhidmatan jalur lebar talian tetap, premis tersedia gentian optik juga telah dilaksanakan di sekitar kawasan perumahan dan komersil.

“Sebanyak 251,165 premis tersedia dengan gentian optik telah dirancang bagi tujuan ini dan sebanyak 118,241 telah pun siap dipasang.

“Pencapaian ini dijangka akan meningkat menjelang penghujung tahun 2022. Kawasan-kawasan pedalaman di Sabah turut diberi keutamaan melalui penyediaan perkhidmatan jalur lebar menggunakan teknologi satelit,” katanya.

Dalam pada itu, Ruddy berkata, bagi tujuan itu,  sebanyak 138 lokasi di kawasan pendalaman negeri Sabah akan disediakan dengan teknologi satelit menjelang April 2022.

Katanya, disamping inisiatif MCMC, pihak kementerian telah memasang sebanyak 24 VSAT setakat ini dan bercadang memasang 300 VSAT sepanjang tahun 2022.

“Setakat 31 Januari 2022, sebanyak 63 lokasi telah pun siap dipasang dengan jalur lebar satelit oleh MCMC.

“Pelaksanaan JENDELA akan sentiasa ditambah baik dari semasa ke semasa berdasarkan kepada perancangan terperinci serta permintaan daripada orang ramai.

“Untuk kawasan-kawasan yang tidak termasuk di bawah inisiatif JENDELA Fasa 1, ianya akan diambil kira di bawah pelan Fasa 2 yang akan bermula dari tahun 2023 sehingga 2025,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *