Thailand beri amaran lonjakan kes COVID-19 selepas Songkran 

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 14 Second

BANGKOK: Pihak berkuasa kesihatan Thailand pada Selasa memberi amaran kepada orang ramai untuk bersiap sedia menghadapi lonjakan kes COVID-19 selepas sambutan Pesta Songkran yang akan berlangsung antara 13 hingga 15 April ini.

Jabatan Kawalan Penyakit (DDC) mengunjurkan jika orang ramai gagal mematuhi langkah pencegahan, kes harian boleh mencecah angka 100,000 selepas sambutan Tahun Baharu Thailand itu.

Selain itu, kematian harian boleh melebihi 250 kes dari pertengahan April hingga Mei.

Sehubungan itu, Ketua Biro Epidemiologi DDC, Dr Jakrat Phittayawong-anon menggesa orang ramai untuk sentiasa mematuhi langkah-langkah pencegahan. 

“Kes harian COVID-19 akan menjadi berganda kepada sekitar 50,000 kes dan lebih 100 kematian selepas Songkran.

Sementara itu, Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha juga menggesa orang ramai supaya sentiasa mematuhi langkah pencegahan termasuk memakai pelitup muka di tempat awam.

Jurucakap Kerajaan, Thanakorn Wangboonkongchana berkata, perdana menteri juga menggesa orang ramai melakukan ujian antigen pantas kendiri, manakala mereka yang berusia 60 tahun ke atas dan kumpulan berisiko tinggi dinasihat untuk mendapatkan suntikan dos penggalak.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kesihatan Awam Anutin Charnvirakul berkata, di tengah kadar vaksinasi yang tinggi, beliau yakin kementerian dapat menguruskan situasi COVID-19 sekiranya berlaku lonjakan selepas Songkran.

Bagaimanapun, beliau bimbang terhadap warga emas yang tidak diberi vaksin dan kanak-kanak di bawah umur lima tahun.

Dalam tempoh 24 jam lalu, Thailand merekodkan 21,088 kes baharu dan 91 kematian, menjadikan jumlah jangkitan di negara itu kepada 3,757,575 dan 25,603 kematian – AFP

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *