PICKids : Dapatkan vaksin sebelum sesi persekolahan tanpa penggiliran bermula

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 6 Second

KOTA KINABALU : Ibu bapa khususnya di negeri dinasihati untuk membawa anak-anak berusia lima hingga 11 tahun mendapatkan vaksin COVID-19 menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kanak-Kanak (PICKids).

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, pemberian vaksin itu boleh didapati disemua Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang dibuka termasuk fasiliti kesihatan yang berhampiran.

“Setakat 8 April lalu, proses pemberian vaksin menerusi PICKids bagi dos pertama adalah sebanyak 24.15 peratus, manakala dos lengkap adalah sebanyak 1.35 peratus yang diambil kira daripada jumlah 411,400 kanak-kanak yang layak menerima vaksin.

“Oleh itu, berdasarkan pencapaian semasa yang masih rendah, kita menasihati ibu bapa untuk memberi anak-anak mereka yang bersekolah berusia lima hingga 11 tahun untuk nendapatkan vaksin di PPV atau fasiliti kesihatan berhampiran,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas jumlah vaksinasi PICKids di Sabah yang masih rendah menjelang sesi persekolahan sepenuhnya tanpa penggiliran bermula 18 April ini.

Shahelmey berkata, ibu bapa atau pihak sekolah juga boleh berhubung dengan mana-mana Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) bagi pengurusan pemberian vaksin kepada kanak-kanak terlibat.

“Pada ketika ini, kerajaan belum mempunyai sasaran peratusan baharu untuk PICKids ini namun kita minta kepada ibu bapa untuk membawa anak-anak mendapatkan vaksin.

“Ini kerana sesi persekolahan akan dibuka sepenuhnya (tanpa penggiliran) selain memastikan kesihatan mereka juga terjamin,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *