Banjir: Tuaran mula pulih, jalan di Kota Belud ditutup 

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 33 Second

BERNAMA

TUARAN: Beberapa kawasan terjejas banjir di sini mulai pulih apabila paras air semakin turun.

Namun sebuah rumah mengalami kerosakan susulan tanah di kawasan itu mendap petang semalam manakala beberapa jalan di Kota Belud ditutup kepada semua kenderaan.

Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sabah dalam kenyataan semalam memaklumkan 10 mangsa yang terlibat di kawasan tanah mendap itu telah berpindah ke rumah ahli keluarga lain.

“Mangsa kejadian tanah mendap berpindah ke rumah saudara terdekat di Kampung Nuga Lapasan Tengilan, Tamparuli,” menurut kenyataan itu.

Setakat semalam, tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka dan APM turut memantau keadaan tebing sungai di hujung jambatan Wokok, Kampung Kauluan kerana berlaku hakisan.

Tuaran dan Kota Belud merupakan dua daerah di pantai barat Sabah yang masing-masing terletak lebih 32 kilometer dan 69 kilometer dari Kota Kinabalu.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kota Belud dalam kenyataannya pula memaklumkan sebanyak 15 kampung turut terjejas akibat banjir manakala beberapa laluan terputus hubungan.

Kawasan yang terlibat ialah Kampung Siasai Tamu, Kampung Kota Belud, Kampung Bobot, Kampung Ejuk, Kampung Menunggui, Kampung Lebak Engad, Kampung Linau, Kampung Sembirai, Kampung Taun Gusi Keranjangan, Kampung Gunding, Kampung Marajah, Kampung Song-Song, Kampung Sadok-Sadok, Kampung Lingkodon dan Kampung Suang Punggur.

Laluan yang terputus hubungan pula termasuk Jalan Bypass Kota Belud-Kudat (Sembirai), Jalan Kampung Bobot, Jalan Kampung Siasai Tamu, Jalan Kampung Menunggui, Jalan Kampung Lebak Engad dan Jalan Kampung Linau.

Jabatan Kerja Raya Sabah dalam kenyataan memaklumkan pengguna jalan raya Kota Kinabalu-Kudat dinasihati agar menggunakan jalan alternatif kerana laluan di M75.20 Linau dan Kota Belud Bypass (Sembirai) ditutup sementara bermula 6 pagi tadi.

Jalan alternatif itu ialah Jalan Kota Kinabalu Kudat-Jalan Sangkir 1-Jalan Sangkir 2, Jalan Kota Kinabalu-Kudat-Jalan Botong Rosok-Jalan Sorob-Jalan Tambulion Piasau-Jalan Kota Belud-Ranau-Pekan Kota Belud.

“Mohon patuhi arahan dan papan tanda keselamatan bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini,” menurut kenyataan itu.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *