HomeUtamaTingkat kekerapan, lanjut waktu operasi tangani harga tiket penerbangan 'melambung' 

Tingkat kekerapan, lanjut waktu operasi tangani harga tiket penerbangan ‘melambung’ 

Read Time:2 Minute, 8 Second

KUALA LUMPUR: Kerajaan bersedia untuk mempertimbangkan kelulusan permohonan syarikat untuk menambah kekerapan penerbangan dan pengoperasian perkhidmatan kawalan trafik udara.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, ketika mengumumkan perkara itu, berharap usaha terbabit berupaya merungkai isu lonjakan harga tiket penerbangan selain kesediaan tiga pihak berkuasa ke arah melanjutkan waktu operasi lapangan terbang pada Aidilfitri dan perayaan akan datang.

Beliau berkata, pihaknya mengadakan mesyuarat khas membabitkan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM), Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan syarikat penerbangan domestik, petang semalam.

Katanya, ia bagi mencari penyelesaian terbaik dalam menangani masalah dan keluhan rakyat, susulan harga tiket kapal terbang yang didakwa ‘melambung’ mencecah berlipat kali ganda berbanding sebelum ini.

“Dalam mesyuarat itu, saya minta MAVCOM dan syarikat penerbangan segera menjalankan siasatan secara terperinci serta menyeluruh mengenai isu kenaikan harga tambang penerbangan pada musim perayaan ini.

“Pihak MAVCOM, CAAM dan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) bersedia untuk mempertimbang dan meluluskan permohonan syarikat penerbangan untuk menambah frekuensi penerbangan, pengoperasian perkhidmatan kawalan trafik udara serta melanjutkan waktu operasi lapangan terbang pada musim perayaan ini dan akan datang. 

“CAAM juga meluluskan perlanjutan waktu pengoperasian perkhidmatan kawalan trafik udara di lapangan terbang yang diperlukan, sekali gus bakal membantu syarikat penerbangan dalam perancangan penambahan kapasiti terutama menjelang musim perayaan.

“Kami komited dan akan berusaha sedaya upaya untuk mengurangkan tambang penerbangan bagi meringankan beban ditanggung oleh rakyat, justeru kementerian melalui MAVCOM akan memaklumkan kepada orang ramai mengenai hasil perbincangan dengan semua syarikat penerbangan dalam tempoh terdekat,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Menerusi pemantauan Bernama terhadap laman web syarikat penerbangan komersial baru-baru ini, menyaksikan tambang penerbangan melonjak sehingga RM2,000 (penerbangan pergi balik) iaitu peningkatan sekitar 566 peratus, menjelang Aidilfitri bagi tempoh antara 29 April hingga 8 Mei depan.

Ka Siong berkata, harga tiket penerbangan dikesan ‘melambung’ berikutan peningkatan kos operasi, terutama harga bahan api jet dan sumber terhad bagi memacu kapasiti sepenuhnya.

Bagaimanapun, katanya, mekanisme penentuan harga tambang penerbangan dibuat menerusi penetapan harga dinamik, bersandarkan kecerdasan buatan (AI), bukan secara manual seperti yang didakwa.

“Syarikat penerbangan juga berdepan masalah menambah kapasiti penerbangan dengan segera akibat pandemik COVID-19.

“Pesawat penerbangan perlu melalui proses penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) sebelum pesawat diluluskan bagi tujuan perkhidmatan dengan selamat.

“Syarikat penerbangan terpaksa menyimpan pesawat mereka ketika negara menguatkuasakan sekatan pergerakan. 

“Selepas negara memasuki fasa peralihan ke endemik dan permintaan meningkat daripada pengguna, syarikat penerbangan memerlukan lebih banyak masa serta alat gantian untuk kesiapsiagaan pengoperasian semula,” katanya.

Berdasarkan semakan kementerian, Ka Siong berkata, kekerapan penerbangan ke Sabah dan Sarawak pada bulan ini masih rendah, hanya pada tahap 68 peratus berbanding 2019 iaitu sebelum pandemik.

RELATED ARTICLES
Utama

DUN Sabah : SDB agresif dalam usaha struktur, pulihkan hutang lapuk

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya