SESB sumbang RM270,000 laksana CSR sepanjang Ramadan

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 24 Second

KOTA KINABALU :  Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) menyumbang sebanyak RM270,000 melalui pelbagai program tanggungjawab sosial korporat (CSR) sepanjang Ramadhan tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ir. Ts. Mohd Yaakob Jaafar berkata, jumlah sumbangan tersebut merupakan sebahagian daripada jumlah wakalah zakat SESB bernilai RM893,036.

“Sumbangan mengikut hukum Syariah yang ditetapkan bagi penerima wakalah zakat ini melibatkan penerima daripada golongan asnaf dengan kadar sebanyak 47.2 peratus, pusat tahfiz 25.2 peratus, masjid dan surau 11.6 peratus dan juga persatuan sebanyak 16 peratus. 

“Program penyerahan ini bukan hanya tertumpu di Kota Kinabalu tetapi juga akan diadakan di daerah lain seperti Tawau, Sandakan, Tuaran, Papar dan Kinabatangan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa Pengerusi Tenaga Nasional Berhad (TNB), SESB dan Ahli Lembaga Pengarah SESB bersama warga kerja disini semalam.

Hadir sama, Pengerusi TNB, Datuk Seri Hasan Arifin, Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din, Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah SESB, Ghazalie Ansing dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Negeri, Datuk Rosmadi Datu Sulai.

Mohd Yaakob berkata, menerusi wakalah zakat itu juga, SESB melalui Program Baiti Jannati telah membina dua buah rumah di Kampung Tanjung Aru Lama dan Kampung Ambawa Kelatuan Papar dengan kos pembinaan rumah RM130,700.

Pada majlis itu, beliau turut menyerahkan sumbangan kepada dua buah masjid iaitu Surau Al-Amin Tanjung Aru dan Masjid Al Fatah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang serta dua buah pusat tahfiz, Pusat Pengajian Tahfiz Al Quran As Syatibiyah dan Maahad Tahfiz Darul Hadis Sabah.

Manakala, seramai 75 pelajar dari Sekolah Menengah Agama (SMA) Toh Puan Hajjah Rahmah Kinarut dan 10 asnaf dari sekitar kawasan Petagas juga menerima sumbangan.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *