Kemudahan PeKa B40 di Sabah kurang dimanfaatkan sepenuhnya

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 9 Second

KOTA KINABALU :Kemudahan Program Skim Peduli Kesihatan Untuk Kumpulan B40 (PeKa B40) di negeri ini tidak dimanfaatkan sepenuhnya apabila hanya sembilan peratus sahaja golongan itu mengambil bahagian.

Ketua Pegawai Eksekutif ProtectHealth Corporation, Datuk Dr. Anas Alam Faizli berkata, melalui data terkini hanya 43,866 daripada 477,929 orang yang layak memanfaatkan PeKa B40 di Sabah sejak diperkenalkan kerajaan pada 2019.

“Skim manfaat kesihatan ini ditawarkan secara percuma kepada rakyat dalam lingkungan pendapatan isi rumah 40 peratus terendah yang dikenali sebagai kumpulan B40 dengan empat manfaat.  

“Empat manfaat tersebut ialah saringan kesihatan percuma meliputi saringan kesihatan mental, bantuan pembelian alat perubatan berjumlah sehingga RM20,000 seorang, insentif melengkapkan rawatan kanser sebanyak RM1,000 serta bayaran insentif tambang pengangkutan kepada pesakit apabila mendapatkan rawatan di hospital kerajaan atau klinik yang berdaftar,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin di Istana Seri Kinabalu, disini semalam.

Dr Anas menyeru agar golongan B40 mengambil peluang terhadap skim kesihatan percuma tersebut dengan hadir ke hospital kerajaan atau klinik-klinik swasta yang mempunyai logo Protect Health bagi menikmati kemudahan yang disediakan kerajaan.

Kunjungan tersebut bertujuan untuk memaklumkan perkembangan program PeKa B40 kebangsaan di Sabah serta langkah-langkah promosi yang bakal dilaksanakan.  

Hadri sama, Ketua Jaminan Kualiti ProtectHealth Corporation, Dr Noor Haslinda Ismail.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *