Banggi berpotensi besar untuk dibangunkan – Jahid

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 34 Second

BANGGI: Daerah ini mempunyai potensi besar dalam pelbagai aspek dan sudut yang memerlukan sedikit sentuhan idea bagi membolehkan rakyat menikmati kelebihan yang ada pada masa akan datang.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Jahid Jahim berkata, daerah ini juga turut terkenal di seluruh dunia sebagai salah satu lokasi pelancongan di Sabah.

“Namun, kita perlu mencari jalan bagaimana untuk kita memberi impak yang lebih kepada rakyat di Banggi.

“Saya percaya pihak pentadbir di sini akan dapat bersama-sama memikirkan jalan terbaik untuk pembangunan masyarakat disini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam lawatan kerja bersama rombongan Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah (KPLBS) di Bilik Mesyuarat, Pejabat Daerah Kecil Banggi, disini semalam.

Turut hadir Setiausaha Tetap KPLBS, Datuk Faimin Kamin, Timbalan Setiausaha Tetap II, Norsafi Dukah, Pegawai Daerah Kudat, Bakri Nanun, Setiausaha Politik KPLBS, Jilias Lintar, dan para Pegawai Kanan KPLBS.

Jahid yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamparuli turut menyeru kepada semua kakitangan Pejabat Daerah Kecil Banggi untuk meneruskan kecemerlangan dan tanggungjawab bagi memastikan apa juga perancangan dapat dicapai.

Pada lawatan tersebut, Jahid dan rombongan telah diberi taklimat mengenai pembangunan Daerah Kecil Banggi, yang disampaikan oleh Penolong Pegawai Daerah Banggi, Asdi @ Mohd Faizal Hussin.

Perkara lain yang disentuh sepanjang taklimat berkenaan adalah mengenai projek-projek terkini yang sedang dan telah dilaksanakan, masalah utama di daerah Banggi, penyelesaian masalah, cadangan permohonan pembangunan berimpak ekonomi, sosial dan kesihatan, dan harapan Pejabat Daerah Kecil Banggi.

Asdi menyambut baik ketibaan Jahid, dan menganggap kehadiran beliau sebagai penyuntik semangat semua kakitangan sebagai pelaksana dasar kerajaan di peringkat daerah kecil Banggi.

Pada program sama, turut diadakan taklimat ringkas mengenai Projek Agropolitan Pulau Banggi oleh pihak Felcra Berhad Wilayah Sabah, yang disampaikan oleh Pengurus Kawasan Felcra Berhad Kawasan Kudat, Abdul Malik Jusoh.

Antara pengisian program adalah lawatan ke kawasan Projek Agropolitan Pulau Banggi, melawat Pulau Balambangan, serta kawasan-kawasan pantai mempunyai pasir jenis Silika, yang dikatakan memiliki banyak manfaat untuk kehidupan manusia.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *