Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor merangkap Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah menyerahkan sumbangan kepada Yang Dipertua Persatuan Mahasiswa Sabah Universiti Malaya, Nurul Farhani Abdullah sempena Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran dan Berbuka Puasa Bersama Mahasiswa dan Mahasiswi Institut Pengajian Tinggi di Setia City Convention Centre, Setia Alam di sini, malam tadi.

Kerajaan Negeri Meluluskan Penubuhan TPNS, Bantu Ringankan Beban Kewangan Untuk Anak-Anak Sabah – Hajiji

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:2 Minute, 0 Second

KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri melalui Kumpulan Yayasan Sabah telah meluluskan penubuhan Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) bagi membantu meringankan bebanan kewangan anak-anak Sabah.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, ini sejajar dengan matlamat utama penubuhan TPNS iaitu untuk membantu lebih ramai anak-anak Sabah seterusnya meringankan bebanan kewangan mereka.

“Kerajaan Negeri Sabah mahu lebih banyak peluang tajaan dapat disalurkan kepada anak-anak Sabah yang berjaya masuk ke institusi pengajian tinggi (IPT) menerusi penubuhan TPNS,” kata Hajiji yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah.

Beliau berkata demikian sempena Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran dan Berbuka Puasa Mahasiswa dan Mahasiswi Institusi PengajianTinggi Bersama Ketua Menteri Sabah yang dihadiri lebih daripada 1,000 mahasiswa dan mahasiswi Sabah di Semenanjung di Setia City Convention Centre, Setia Alam, di sini malam Isnin.

Sempena majlis itu, Hajiji turut mengumumkan penubuhan Sekretariat Khas bagi memayungi semua persatuan pelajar Sabah di Semenanjung, yang akan diletakkan di bawah Menteri Tugas-Tugas Khas.

“Mahasiswa dan mahasiswi semua adalah pelapis dan tonggak pemangkin teras Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ). Dalam memacu pembangunan di Sabah sepertimana yang kita gariskan dalam Hala Tuju SMJ, kita telah menggariskan faktor modal insan sebagai asas penting yang bersifat holistik bagi melahirkan generasi berilmu dan berdaya saing.

“Oleh itu, saya menyeru kepada anak-anak semua, banyakkan membaca dan luaskan pengetahuan. Rebutlah peluang menimba ilmu dan kembali menabur bakti di negeri yang kita sayangi. Saya berharap selepas menghabiskan pengajian di sini, kembalilah ke Sabah untuk sama-sama membantu kerajaan menjayakan pelan pembangunan Hala Tuju SMJ,” katanya.

Dalam pada itu Hajiji berkata bagi meringankan beban kewangan yang dihadapi pelajar di Semenanjung, pelbagai insentif telah disediakan. Kumpulan Yayasan Sabah menawarkan pelbagai bantuan seperti Biasiswa Cemerlang Negeri Sabah, Biasiswa Cemerlang Pelajar Luar Bandar, Biasiswa IPTA, Biasiswa IPTS, dermasiswa dan pinjaman pengajian tinggi.

“Sejak tahun 1967 hingga 2021, Kumpulan Yayasan Sabah tidak pernah putus memberi bantuan melalui pemberian biasiswa, dermasiswa dan pinjaman pengajian tinggi.

Sejumlah RM650.8 juta telah dibelanjakan kepada 40,222 orang pelajar Sabah yang mengikuti pelbagai disiplin ilmu sama ada di institusi pengajian tinggi di dalam mahupun ke luar negara.

“Kerajaan negeri juga melalui Menteri Tugas-Tugas Khas telah melancarkan Bantuan Tunai Pendaftaran IPT iaitu BUDI. Kerajaan Negeri juga memberi pengiktirafan pencapaian cemerlang kepada pelajar-pelajar Sabah yang berjaya mencipta kejayaan dan mengharumkan nama Sabah di peringkat kebangsaan atau antarabangsa. Pengiktirafan khas Kerajaan Negeri ini akan dikenali sebagai Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Sabah (AKSA),” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *