TAWAU : Pelaksanaan Program Mini Roadshow Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) di daerah ini mampu memberi pendedahan kepada rakyat berhubung intipati Hala Tuju SMJ.
Sekretariat Hala Tuju SMJ dalam satu kenyataan berkata, program itu juga merupakan salah satu platform libat urus yang dapat menyebar luas intipati Hala Tuju SMJ (Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya 1.0 : 2021-2025).
“Jelas sekali, program berkonsepkan interaksi dua hala secara bersemuka antara Kerajaan negeri Sabah dengan rakyat di negeri ini akan menjadi titik awal dalam menyampaikan maklumat Hala Tuju SMJ secara lebih jelas dan mudah kepada golongan sasar,” kata kenyataan itu.
Perasmian program disempurnakan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Negeri Sabah Datuk (Datu) Rosmadi Datu Sulai yang diadakan di Dewan Masyarakat Tawau disini semalam.
Antara pengisian program adalah Retrospektif Aspirasi Hala Tuju SMJ; penyerahan Buku Ringkasan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (HTSMJ) kepada Presiden Majlis Perbandaran Tawau.
Selain itu, mini forum turut diadakan dengan menyentuh tiga sektor utama di bawah inisiatif HTSMJ iaitu Sektor Pertanian, Pelancongan dan Kesejahteraan Rakyat.
Sesi perkongsian inisiatif HTSMJ itu dimulakan Kementerian Pertanian dan Perikanan diikuti Taman-Taman Sabah yang mengupas topik pelancongan dan diakhiri sesi perkongsian mengenai kesejahteraan rakyat oleh Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am.