Polis Buru 2 lelaki ekoran Kes Serang pelajar wanita di Dutamas

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 21 Second

Kuala Lumpur — Polis sedang memburu dua lelaki yang didakwa mengganggu seorang pelajar di Dutamas, Kuala Lumpur, malam tadi.

Salah seorang daripada mereka turut memukul mangsa menggunakan kayu.

Memetik laporan portal FMT, Ketua Polis Sentul Beh Eng Lai mengesahkan satu laporan telah dibuat berhubung perkara itu dan polis “masih memburu mereka”.

Mangsa adalah warga asing yang belajar di sini, tambahnya.

Katanya, siasatan dijalankan bawah Seksyen 323 dan 393 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan dan cubaan menyamun.

“Kejadian berlaku di hadapan SK Kiaramas, Persiaran Dutamas,” kata Beh.

Ini susulan mangsa berkongsi kejadian itu di Instagram, menceritakan bahawa beliau dan rakannya diganggu oleh dua lelaki menaiki motosikal ketika sedang berjalan ke sebuah pusat beli-belah berdekatan.

Pada mulanya, mangsa dan rakannya tidak mengendahkan kedua-dua lelaki itu, katanya, namun kemudian, mereka terpaksa berlari ke arah sekolah berdekatan apabila dihampiri oleh lelaki-lelaki itu.

“Salah seorang daripada mereka (berbaju putih) melompat turun daripada motosikal dan berlari ke arah kami untuk menyerang,” katanya di Instagram.

“Rakan saya berjaya melarikan diri, tetapi saya tidak. (Penyerang) tergelincir dan terjatuh apabila dia menghayunkan batang kayu ke arah saya.”

Peluang ini digunakannya untuk memukul penyerangnya yang terjatuh.

“Dia menggigit lengan saya, kemudian rakannya turut melompat turun daripada motosikal untuk menyerang saya, jadi saya cuba lari. Saya tak cukup pantas dan dapat rasa salah seorang daripada mereka memukul saya di bahagian belakang menggunakan kayu.

“Pengawal keselamatan di sekolah itu membuka pintu pagar supaya kami dapat masuk (ke pekarangan sekolah) untuk menyelamatkan diri, tetapi pada ketika itu, kedua-dua lelaki berkenaan telah melarikan diri.

“Saya sudah buat laporan polis, tetapi tolong kongsi (mengenai kejadian) ini agar ia dapat perhatian.”

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *