Tarikh Lihat Anak Bulan Syawal Ditetapkan 1 Mei Ini

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 14 Second

Kuala Lumpur — Tarikh melihat anak bulan Syawal ditetapkan pada petang Ahad, 1 Mei bersamaan 29 Ramadan 1443 Hijrah di 29 lokasi terpilih di seluruh negara.

Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-raja dalam kenyataan hari ini memaklumkan Majlis Raja-raja juga bersetuju bahawa cara menetapkan tarikh Hari Raya Puasa adalah berdasarkan rukyah dan hisab.

Tarikh Aidilfitri akan diisytiharkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-raja pada malam itu juga melalui radio dan televisyen.

Sebanyak 29 lokasi dikenal pasti untuk melihat anak bulan Syawal, iaitu Pontian Kecil, Johor; Kompleks Falak Al-Khawarizmi Tanjung Bidara, Melaka; Kompleks Baitul Hilal Telok Kemang, Negeri Sembilan; Bukit Melawati, Bukit Jugra, Balai Cerap Selangor Sabak Bernam di Selangor; Pantai Pasir Panjang Manjong di Perak dan Pusat Falak Sheikh Tahir, Pantai Aceh, Pulau Pinang.

Lokasi lain yang turut terpilih ialah Kampung Pulau Sayak Kuala Muda, Pemandangan Indah Pulau Langkawi dan Menara Alor Setar di Kedah; Bukit Besar Kuala Terengganu, Bukit Geliga Kemaman, Pulau Perhentian Besut dan Balai Cerap KUSZA di Terengganu.

Lokasi melihat anak bulan di Kelantan pula ialah Bukit Peraksi Pasir Puteh; Bukit Kampung Tembeling, Kuala Krai, dan Menara Bangunan SEDC, Kota Bharu; manakala di Sarawak ialah Pusat Falak, Miri, Teluk Bandung, Kuching; dan Tanjung Batu, Bintulu.

Di Sabah ialah Balai Cerap Al-Biruni, Putatan dan Menara Universiti Malaysia Sabah; Kampus Antarabangsa Labuan; manakala di Pahang ialah Bukit Tanjong Batu Nenasi, Gunung Berincang dan Bukit Pelindong.

Tiga lagi lokasi ialah Menara Kuala Lumpur, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya dan Menara Pandang Masjid Al-Hussain, Kuala Perlis.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *