Eratkan perpaduan masyarakat pelbagai kaum – Shahelmey

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 30 Second

PUTATAN: Program Semarak Perpaduan, ‘Masak-Masak Bubur Lambuk, Ikatan Perpaduan Terus Dipupuk’ merupakan usaha mengeratkan perpaduan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Ir. Shahelmey Yahya berkata, program tersebut merupakan anjuran Kementerian Perpaduan Negara.

Katanya, ianya turut melibatkan penyertaan Komuniti Rukun Tetangga (KRT) Daerah Putatan dan Penampang yang dilaksanakan serentak di seluruh negara pada hari ini.

“Dalam program ini, kita dapat berkumpul semula bergotong-royong mengeratkan perpaduan dalam menyediakan bubur lambuk yang akan diagihkan kepada orang ramai di kawasan komuniti masing-masing.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Ir. Shahelmey Yahya

“Yang lebih menarik adalah program ini bukan sahaja melibatkan orang Melayu ataupun Bumiputera Islam, tetapi ia juga melibatkan penyertaan pelbagai kaum dan bukan beragama Islam untuk menyediakan bubur lambuk.

“Ia sebagai wadah untuk mengeratkan perpaduan dalam kalangan Keluarga Malaysia yang harus dipupuk dari semasa ke semasa, sekaligus memperkukuhkan silaturrahim masyarakat,” katanya di Dewan Kampung Lok Kawi Baru Putatan, disini hari ini.

Mengenai program itu, Shahelmey menjelaskan, Sabah yang mempunyai 357 KRT di 178 kawasan juga melaksanakan program yang sama secara serentak.

“Penyediaan bubur lambuk di Dewan Kampung Lok Kawi Baru ini melibatkan dua daerah iaitu Putatan dan Penampang iaitu 10 KRT dari daerah Putatan dan 16 KRT  dari daerah Penampang yang akan diagih-agihkan di KRT masing-masing dalam dua daerah ini,” katanya.

Dalam program tersebut, sebanyak 1,000 pek bubur lambuk diagihkan kepada masyarakat di daerah Putatan anjuran KRT Daerah Putatan dan Penampang dengan kerjasama JKDB Pekan Putatan.

Selain itu, Shahelmey  turut mengadakan ziarah Ramadan di beberapa buah Kampung di kawasan Tanjung Keramat untuk mengagihkan sumbangan juadah berbuka puasa dan bantuan persediaan Hari Raya Aidilfitri kepada golongan asnaf terdiri daripada warga emas, ibu tunggal dan Orang Kurang Upaya (OKU).

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *