Generasi muda perlu kukuhkan kerjasama realisasi Hala Tuju SMJ

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 39 Second

MENUMBOK: Generasi muda perlu terus mengukuhkan kerjasama bagi merealisasikan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri di bawah Gabungan Rakyat Sabah – Barisan Nasional (GRS-BN).

Pembantu Menteri Kerja Raya, Datuk Limus Jury berkata, kerajaan sentiasa mengutamakan usaha memperkasa  generasi muda melalui pembangunan modal insan dan dijadikan sebagai teras halantuju SMJ.

“Generasi muda hari ini merupakan aset negara pada masa akan datang. Bahkan, kemajuan sesebuah negara bergantung kepada  kualiti sumber manusia dan generasi muda yang bakal mewarisi kepimpinan negara. 

“Atas dasar inilah, kerajaan sentiasa mengutamakan perkembangan generasi muda agar mampu menjadi modal insan yang berkualiti dan unggul bagi memacu pembangunan dan kemajuan negeri Sabah dan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian  ketika berucap dalam Program Jalinan Kasih Ramadan anjuran Persatuan Belia Daerah Kecil Menumbuk, di Tapak Pesta  Nelayan Mempakul disini semalam.

Limus yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Penyu berkata, dalam setiap perancangan, dasar dan pelaksanaan projek pembangunan, generasi muda sentiasa mendapat perhatian kerajaan.

Katanya, dalam konteks Negeri Sabah, pembangunan modal insan adalah antara teras yang ditekankan dalam halantuju SMJ untuk dicapai bersama.

“Oleh itu, saya ingin mengajak masyarakat terutama golongan belia khususnya belia di Daerah Kecil Menumbok dan Kuala Penyu agar terus memperkukuhkan jalinan kasih, silaturahim serta kerjasama antara satu sama lain,” katanya.

Katanya, kerajaan juga akan menyusun strategi dan program pembangunan sumber manusia yang memfokus kepada  usaha untuk melahirkan sumber tenaga manusia yang berkualiti, mahir, kreatif dan inovatif serta berakhlak mulia. 

“Justeru, saya berharap agar semua persatuan belia terus menggembleng usaha bersama jabatan serta agensi kerajaan supaya matlamat kerajaan dapat dicapai dengan jayanya.

“Dalam hal ini pelbagai kemudahan dan peluang yang diberikan perlu dimanfaatkan sebaik mungkin,” katanya.

Pada majlis itu, selain bertemu dan bermesra dengan para pemimpin belia, beliau turut menyertai iftar serta memyampaikan sumbangan kepada golongan yang kurang berkemampuan dari beberapa buah kampung.

Para penerima terdiri daripada penduduk dari Kampung Darat, Kampung laut Segalung, Kampung Seberang, Kampung Menengah, Kampung Telai, Kampung Tinagad, Kampung Paringan dan Kampung Mempakul.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *