Kritikan terhadap badan kehakiman agak keterlaluan, kata ketua hakim negara 

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:3 Minute, 1 Second

CYBERJAYA -— Walaupun lumrah bagi hakim menerima kritikan daripada pihak terkilan dengan keputusan mahkamah, namun tohmahan terhadap hakim dan badan kehakiman sejak beberapa hari lalu agak keterlaluan, kata Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat.

Beliau berkata, hakim menjadi subjek penelitian, justeru mereka perlu menyediakan alasan penghakiman yang boleh dibaca, dianalisis, dibincang dan didebatkan.

Tengku Maimun berkata, keseluruhan sistem rayuan adalah berdasarkan kesedaran bahawa hakim itu sendiri berdepan kekhilafan. Jadi rakyat, termasuk ahli politik, pada tahap tertentu bebas mengkritik badan kehakiman.

Bagaimanapun, ini tidak bermakna mereka boleh melancarkan serangan tidak berasas dan keji terhadap badan kehakiman atau hakim tertentu bagi tujuan tertentu.

Akhir-akhir ini, mahkamah menangani kes berprofil tinggi dan berkepentingan awam dan adalah wajar bagi hakim berdepan kritikan atau dakwaan yang dilemparkan terhadap mereka susulan keputusan yang dibuat.

“Bagaimanapun, apa yang berlaku baru-baru ini terhadap badan kehakiman dan hakim, pada pandangan saya agak keterlaluan,” katanya ketika berucap pada majlis mengangkat sumpah jawatan dan taat setia hakim Mahkamah Tinggi.

Mereka yang hadir pada majlis itu memberikan tepukan gemuruh selepas Tengku Maimun selesai menyampaikan ucapan.

Kenyataannya itu merujuk kepada dakwaan bahawa beliau bersetuju membenarkan campur tangan dalam kes membabitkan bekas perdana menteri Najib Razak dan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, sekali gus membawa kepada laporan polis dibuat bagi menafikan tuduhan berkenaan oleh Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan.

Pejabat itu berkata, tiada asas kepada dakwaan berkenaan yang mendakwa ketua hakim bersetuju mempercepat kes terhadap dua ahli politik itu.

Selain itu, hakim Mahkamah Rayuan Nazlan Mohd Ghazali, minggu lalu, turut membuat laporan polis berhubung artikel yang mendakwa beliau disiasat berhubung jumlah wang yang tidak dapat dijelaskan dalam akaun banknya.

Pejabat ketua pendaftar mahkamah berkata, Nazlan menafikan dakwaan yang “palsu, tidak berasas dan berniat jahat” bertujuan menyerang kredibilitinya sebagai hakim Mahkamah Rayuan itu.

Nazlan adalah hakim perbicaraan yang mensabitkan kesalahan terhadap Najib berhubung kes SRC International, pada 28 Jul 2020.

Dis lalu, Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan terhadapnya. Rayuan berhubung sabitan berkenaan sedang berjalan di Mahkamah Persekutuan.

Tengku Maimun turut menekankan kepentingan badan kehakiman menjadi benteng terakhir dalam demokrasi berperlembagaan dan tidak boleh timbul sebarang kecurigaan bahawa badan kehakiman “sudah ditawan”.

Beliau berkata, kritikan yang ditujukan sepatutnya membina, bukan meremehkan kebebasan badan kehakiman dan keyakinan orang awam terhadap badan berkenaan.

“Tiada sesiapa pun patut menyemai keraguan dalam kalangan orang awam berhubung integriti badan kehakiman atau hakim,” tambahnya.

Tengku Maimun turut menyeru hakim agar tidak berputus asa dan lemah semangat dalam melaksanakan tugas selaras prinsip undang-undang.

“Walaupun kita tidak dapat mengawal kata-kata atau tindakan sesetengah pihak yang berniat jahat atau berhasrat memusnahkan imej badan kehakiman, adalah menjadi kawalan kita demi menjamin tiada seorang pun masuk campur dalam urusan kita,” katanya.

Beliau berkata, campur tangan tidak akan berlaku jika kes diputuskan tanpa pilih kasih, tanpa niat buruk atau motif, tanpa tekanan luar atau dalaman dan mengira personaliti.

“Pandangan awam dan popular tidak penting. Kes diputuskan berdasarkan keterangan dikemukakan di mahkamah dan berasaskan prinsip undang-undang sedia ada, termasuk ‘stare decisis’ (kepatuhan kepada duluan dalam membuat keputusan).

“Apa sahaja ujian dan cabaran didepani, prinsip berkenaan mesti dijunjung. Hanya jika kita berpegang kepada prinsip utama baharulah kita layak dipanggil hakim,” katanya.

Mereka yang dilantik hari ini adalah Latifah Mohd Tahar, Amarjeet Singh, Duncan Sikodol, K Muniandy, Shahnaz Sulaiman, Evrol Mariette Peters, Christopher Chin Soo Yin, Ong Chee Kwan, Radzi Abdul Hamid, Aslam Zainuddin, Julie Lack, Wong Siong Tung, Leonard David Shim, Nadzarin Wok Nordin, Quah Chew Soon, Attan Mustafa Yussof Ahmad dan Anand Ponnudurai.

Duncan, Chin, Shim dan Wong, mengangkat sumpah di hadapan Ketua Hakim Sabah dan Sarawak Abang Iskandar Abang Hashim, susulan mereka bertugas di wilayah berkenaan, manakala yang lain mengangkat sumpah di hadapan Ketua Hakim Malaya Azahar Mohamed.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *