Azizah menyampaikan sumbangan kepada pelajar dan golongan asnaf.

MRSM Terima 75,000 Permohonan Tahun Ini

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 42 Second

KOTA KINABALU : Majlis Amanah Rakyat (Mara) menerima hampir 75,000 permohonan daripada kalangan pelajar untuk kemasukan ke tingkatan satu dan empat pada tahun ini.

Pengerusi Mara, Datuk Seri Azizah Mohd. Dun berkata, daripada jumlah tersebut pihak Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) hanya mampu menawarkan 9,900 tempat bagi kedua-dua kemasukan tersebut.

Menurut beliau, mereka terdiri daripada 60 peratus pelajar daripada golongan B40, keluarga M40 (25 peratus) dan T20 (15 peratus).

“Tawaran baharu itu menjadikan sehingga kini MRSM mempunyai 36,916 pelajar kesemuanya di seluruh negara. Kita berharap daripada kalangan mereka ini akan lahir lebih ramai generasi cendekiawan baharu.

“Kita telah melahirkan ramai tokoh akademik mahupun korporat antaranya seperti Pengerusi Bursa Malaysia, Tan Sri Abdul Wahid Omar, Ketua Pegawai Eksekutif UZMA Berhad, Datuk Kamarul Redzuan Muhamed dan Pakar Otologi di KPJ Ampang Puteri, Prof. Datuk Dr. Lokman Saim dan ramai lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Iftar Perdana Mara Sabah di sebuah hotel di sini semalam.

Ahli Parlimen Beaufort itu berkata, MRSM yang kini mempunyai 55 buah sekolah akan membuka dua lagi kemudahan baharu apabila MRSM Ranau dan MRSM Bintulu yang dijangka siap pada akhir tahun ini.

Katanya, pada masa yang sama Mara merancang membina lima buah lagi MRSM iaitu melibatkan MRSM Sik, Ketereh, Tanah Merah, Lawas dan Dungun.

Menyentuh perkara lain, beliau memberitahu, Mara melalui program MARACare Yayasan Pelajaran MARA (YPM) akan terus mengukuhkan usaha membantu golongan kurang berkemampuan dalam bidang pendidikan.

“Kita menyalurkan sumbangan bantuan pembelajaran berupa komputer riba kepada pelajar yang terpilih daripada Keluarga B40 di bawah program Anak Angkat YPM. 

“Saya berharap bantuan yang disumbangkan hari ini sedikit sebanyak akan mempermudahkan pembelajaran anak-anak serta menyerikan lagi sambutan Aidilfitri pada tahun ini,” katanya.

Mengenai kelonggaran prosedur operasi standard yang diumumkan kerajaan, Azizah meminta semua pihak supaya memanfaatkan sebaik mungkin bagi mengeratkan hubungan silaturahim antara satu sama lain sempena kedatangan Syawal ini.

Beliau bagaimanapun mengingatkan semua pihak agar tidak leka dan terus berhati-hati kerana wabak Covid-19 masih wujud dan boleh mendatangkan bahaya khususnya kepada kanak-kanak dan warga emas serta yang golongan rentan.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *