HomeUtamaKPDNHEP Ambil Tindakan Perlu Bagi Memastikan Bekalan Petrol RON 95 Mencukupi Di...

KPDNHEP Ambil Tindakan Perlu Bagi Memastikan Bekalan Petrol RON 95 Mencukupi Di Seluruh Negara – Alexander

Read Time:2 Minute, 7 Second

PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengambil maklum aduan dan rungutan orang ramai berhubung isu bekalan petrol RON 95 yang terjejas di beberapa kawasan di seluruh negara seperti dilaporkan baru-baru ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, pihak KPDNHEP telah menjangkakan akan berlaku peningkatan jumlah kenderaan yang luar biasa di jalan raya sepanjang musim perayaan Hari Raya Aidilfitri tahun ini ekoran proses peralihan negara ke fasa endemik dan pembukaan sempadan Negara yang membolehkan Keluarga Malaysia pulang ke kampung halaman masing-masing.

Katanya, bagi menghadapi sebarang kemungkinan dan memastikan bekalan bahan api kenderaan sentiasa mencukupi di stesen minyak seluruh negara, KPDNHEP telah mengambil tindakan awal dengan mengadakan sesi libat urus bersama Persatuan Pengusaha Stesen Minyak (PDAM) bagi memastikan semua pengusaha stesen minyak berada dalam keadaan siap siaga sepanjang musim perayaan Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini.

Selain itu, menurut Alexander, pihak Kementerian juga telah mengambil langkah sewajarnya dengan membenarkan semua stesen minyak di seluruh negara untuk menambah had kuantiti simpanan terutamanya bagi petrol RON 95 bagi memastikan bekalan petrol RON 95 mencukupi musim perayaan ini.

“Berdasarkan Garis Panduan Pelesenan Barang-Barang Kawalan Berjadual (CSA), kadar had kuantiti ini ditentukan menerusi surat sokongan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang menyatakan had kuantiti simpanan yang sesuai bagi produk petroleum, diesel dan LPG.

“Justeru, setiap stesen minyak mempunyai kadar had kuantiti simpanan yang berbeza, tertakluk kepada luas premis dan sistem simpanan tangki bawah tanah (UGT) masing-masing,” jelasnya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.

Beliau turut menjelaskan antara faktor yang telah dikenalpasti menyumbang kepada berlakunya kekurangan bekalan petrol RON 95 adalah peningkatan mendadak jumlah kenderaan yang menyumbang kepada meningkatnya permintaan petrol RON 95 di seluruh negara.

“Selain itu, kelewatan kapal tangki yang membawa minyak untuk sampai di terminal di Bagan Luar, Pulau Pinang dan Kuantan, Pahang juga menyumbang kepada berlakunya isu ini selain kapasiti tangki simpanan di stesen-stesen minyak tertentu tidak mampu untuk menampung permintaan pengguna.

“Bagi menangani segera isu ini, pihak kementerian telah mengambil dua langkah penyelesaian jangka pendek dengan melaksanakan tindakan seperti mendapatkan kerjasama daripada pihak Kementerian Pengangkutan Malaysia (KPM) untuk mempercepatkan proses pelepasan kapal-kapal minyak dan Pemantauan berterusan pihak KPDNHEP supaya tidak berlakupenyelewengan ke atas bekalan bahan api kenderaan terutamanya petrol RON 95.

“Pihak kementerian ingin menyarankan orang ramai supaya buat sementara waktu ini untuk beralih kepada jenama minyak syarikat lain yang berhampiran berbanding jenama minyak syarikat tertentu yang menjadi kebiasaan digunakan oleh pengguna kerana bukan semua stesen minyak menghadapi masalah bekalan terputus ini,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

QSB kukuh kolaborasi dalam pengurusan kesihatan pekerja asing

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya