HomeUtamaPenghawa dingin rosak, penumpang 'dipanggang' sejam dalam pesawat

Penghawa dingin rosak, penumpang ‘dipanggang’ sejam dalam pesawat

Read Time:2 Minute, 5 Second

KOTA KINABALU : Bagaikan dipanggang.  Itu situasi yang dialami beberapa orang penumpang sebuah syarikat penerbangan yang terpaksa berpanas selama satu jam di dalam pesawat selepas pendingin hawanya tidak berfungsi.

Menerusi perkongsian beberapa buah video yang dimuatnaik pengguna akaun TikTok @babahnadeen itu turut memaparkan situasi para penumpang yang tidak senang duduk apabila terpaksa berpanas dalam pesawat terbabit.

Lebih menyedihkan apabila beberapa orang kanak-kanak berusia antara dua hingga lima tahun turut kelihatan menangis akibat kepanasan dalam pesawat berkenaan.

Pengguna akaun TikTok @babahnadeen atau nama sebenarnya Muhammad Nazri Mohd Shah berkata, penerbangan ke Sandakan dari Kuala Lumpur itu dijangka berlepas jam 10.25 pagi pada Ahad lalu.

“Apabila kita masuk ke pesawat, kita tanya para petugas kenapa tiada penghawa dingin, namun mereka kata `power supply` bermasalah, tengah dibuat dan kita pun duduk seperti biasa.

“Namun semakin lama kita rasa lain, budak-budak pun ada yang mula menangis, buka baju dan ada juga yang pengsan sebab kepanasan. Bermula dari sana, ramai yangt kata kenapa tidak boleh keluar.

“Kita faham itu prosedur, mereka kena ikut satu persatu tetapi ia dilihat agak lama, jadi selepas hampir sejam kita minta izin untuk keluar cepat, sebab panas di dalam pesawat tidak dapat dikata,” katanya.

Muhammad Nazri berkata, terdapat juga penumpang yang pengsan dan perlu mendapat rawatan pegawai perubatan.

Katanya, selepas dibenarkan keluar dari pesawat berkenaan, dia bersama penumpang lain terpaksa menunggu hampir satu jam 20 minit untuk penukaran pesawat yang lebih stabil.

“Ketika kami memasuki pesawat baru, pramugari yang bertugas juga adalah yang sama dan mereka juga meminta maaf kepada para penumpang atas kejadian yang berlaku.

“Namun jika tiada pesawat masa itu, saya rasa ramai yang `give-up` untuk balik, sebab ada yang bagitau saya ada yang sehari perjalanan dari Dungun Terengganu sampailah ke lapangan terbang, tiba-tiba ini pula kejadian yang berlaku,”katanya.

Dalam pada itu, Muhammad Nazri berharap syarikat penerbangan yang terlibat dapat membuat persiapan yang lebih baik sebelum melakukan suatu penerbangan.

“Jika sudah tahu kapal itu akan atau memang mahu rosak, jangan benarkan masuk penumpang dahulu sebab ia akan memakan masa para penumpang.

“Macam saya, nak kejar masa ke Sandakan, namun delay, dah buang masa.  Mana lagi yang bawa anak-anak kecil lagi, mujur pada kali ini saya sendiri sahaja,” katanya.

Beliau turut berpesan kepada para penumpang lain sekiranya mengalami masalah sama pada masa akan datang untuk bersabar.

“Untuk orang luar sana kalau nak balik guna pesawat penerbangan, kalau terjadi seperti ini, kita banyakkan bersabar. Mereka pun ada prosedur, walau macamana kita bayar mahal,kita terpaksa ikut,”katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

LPBS laksana operasi di enam daerah pengeluar padi

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular