Kerjasama rakyat diperlukan perangi wabak COVID-19

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 20 Second

RANAU : Rakyat di negeri ini diseru untuk terus bekerjasama dalam memastikan kes jangkitan COVID-19 di Sabah tidak bertambah buruk.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata, rakyat juga perlu terus mematuhi prosedur standard operasi (SOP) yang masih dikuatkuasakan kerajaan pada masa ini.

“Saya berharap rakyat khususnya di daerah ini bersabar kerana ada SOP-SOP yang terpaksa kita patuhi dalam menyambut perayaan seperti Kaamatan pada tahun ini.  Saya tahu selepas dua tahun semuanya mahu kembali kepada kehidupan asal.

“Tetapi, COVID-19 ini masih berada disekeliling kita, justeru kita perlu ambil perhatian bagi memastikan jangkitan ini khususnya di Sabah tidak bertambah buruk seperti dahulu.

“Kita mengambil contoh, Ranau pada satu ketika pernah merekodkan angka jangkitan tinggi, namun semalam daerah ini tidak mencatatkan sebarang kes. Ini satu petanda yang baik jika kita terus dedikasi, berdisiplin, kita mampu melawan virus ini,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Pesta Kaamatan peringkat daerah Ranau di sini hari ini.

Masidi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karanaan berharap semua pihak dapat membantu dan memberi kerjasama sebaiknya dalam memerangi wabak COVID-19 khususnya dalam penganjuran Pesta Kaamatan peringkat daerah mahupun kampung.

“Sebagai menteri yang bertanggungjawab dengan pengurusan COVID-19 di Sabah, saya andaikan akan terdapat sedikit pertambahan kes-kes baharu sempena musim perayaan ini iaitu Aidilfitri dan Kaamatan.

“Namun saya nasihatkan supaya jangan panik, yang pasti kalau kita lihat statistik yang dikeluarkan  dimana mereka yang sudah lengkap vaksin termasuk dos penggalak, keberangkalian mendapat jangkitan yang serius adalah tipis.

“Sebab itu, keberkesanan vaksin ini sukar dipertikaikan, kepada mereka yang belum mendapat vaksin, pergilah dapatkan segera,”katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *