HomeUtamaSMART SBB inisiatif kerajaan bangunkan kawasan penanaman padi

SMART SBB inisiatif kerajaan bangunkan kawasan penanaman padi

Read Time:2 Minute, 53 Second

PULAU PINANG : Program Smart Sawah Berskala Besar (SMART SBB) merupakan inisiatif Kerajaan melalui Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) bagi membangunkan kawasan-kawasan penanaman padi dengan mengoptimumkan penggunaan tanah.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, program itu juga adalah untuk meningkatkan lagi kecekapan aktiviti penanaman dan pengeluaran hasil padi.

Katanya, program itu juga bermatlamat untuk meningkatkan produktiviti hasil pengeluaran padi dan pendapatan pesawah dengan sasaran jumlah kawasan sawah padi seluas 150,000 hektar di seluruh negara secara berperingkat.

“Program SMART SBB terbukti berhasil meningkatkan pendapatan dan purata hasil padi  sehektar selain mengurangkan kebergantungan kepada orang tengah.

“Contohnya program SMART SBB yang dilaksanakan di Sekinchan, Selangor melibatkan kawasan seluas 100 hektar telah meningkatkan lagi purata hasil padi daripada 2.5 tan metrik sehektar kepada lapan hingga 10 tan metrik sehektar bagi musim 2/2021 dan musim 1/2022,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan SMART SBB dan sesi menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) antara Kerajaan Malaysia dan Syarikat-Syarikat Peneraju di Pulau Pinang, di sini hari ini.

Kerajaan Malaysia telah diwakili oleh MAFI bagi menandatangani MOU berkenaan bersama Syarikat-Syarikat Peneraju yang terlibat dalam rantaian industri padi.

Dr Ronald berkara, selain di Sekinchan Selangor, program yang dilaksanakan di Batang Lupar, Sarawak telah merekodkan peningkatan hasil pendapatan daripada 50 peratus sehingga 100 peratus yang memberi manfaat 245 orang pesawah yang terlibat dengan program ini.

Katanya, sejak diperkenalkan pada 23 Februari 2021, program SMART SBB telah berjaya dilaksanakan di sembilan buah negeri iaitu Kedah, Kelantan, Pahang, Perlis, Perak, Selangor, Terengganu, Sabah dan Sarawak dengan penglibatan sebanyak 19 buah syarikat peneraju setakat ini.

“SMART SBB merupakan antara hala tuju baharu industri padi dan beras yang akan terus membantu meningkatkan produktiviti dalam mencapai sasaran 75 peratus Tahap Sara Diri (SSL) negara menjelang tahun 2025 sepertimana yang digariskan di bawah Dasar Agromakanan Negara (DAN 2.0) 2021-2030 dan Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12),” katanya.

MOU yang ditandatangani oleh Kerajaan melibatkan lima syarikat peneraju yang baharu iaitu Koperasi Kerjaya Permatang Nibong Pulau Pinang Berhad; Koperasi Jalan Sempadan Nibong Tebal Berhad; Koperasi Kelompok Padi Jalan Baru Nibong Tebal Berhad; Kilang Beras Siong Heng Sdn Bhd; dan OBL Maju Sdn Bhd.

Program SMART SBB di Pulau Pinang yang melibatkan keluasan kawasan 942 hektar dan 420 orang pesawah akan dilaksanakan di bawah seliaan Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Pulau Pinang.

MOU yang termeterai itu menjadikan jumlah keseluruhan penglibatan syarikat peneraju dalam program SMART SBB adalah sebanyak 24.

“Saya yakin kolaborasi strategik antara MAFI bersama Koperasi dan Syarikat-Syarikat Peneraju akan menjadi titik permulaan kepada perubahan landskap industri padi dan beras tempatan di Pulau Pinang,” katanya.

Dalam Majlis yang sama, BERNAS dan PPK Pokok Sena juga telah Menandatangani Perjanjian Pengurusan Program SMART SBB yang turut disaksikan oleh Ronald.

Dalam pada itu, Bahagian Pembangunan Industri Padi, MAFI juga telah memperkenalkan tenaga alternatif solar photovoltaic di semua pejabat IADA serta infrastruktur pengairan iaitu rumah pam utama di kawasan jelapang sebagai usaha penjimatan kos operasi Kerajaan seterusnya menyahut seruan penggunaan teknologi hijau di dalam industri pertanian.

Pada majlis yang sama, Dr Ronald juga telah menyampaikan Insentif Projek Peningkatan Hasil Padi kepada enam kelompok dari Pulau Pinang yang merangkumi Insentif Pengurusan Pemuliharaan dan Peningkatan Kesuburan Tanah dengan nilai keseluruhan sebanyak RM421,400 dan Insentif Petak Model Pengurusan Kawalan Rumpai dan Padi Angin dengan nilai keseluruhan sebanyak RM266,000.

Tiga usahawan turut menerima geran di bawah Program Pemadanan CUP (Change Upgrade Product) daripada Bahagian Industri Makanan Dan Asas Tani (IMAT), MAFI dengannilai keseluruhan RM119,500.

RELATED ARTICLES
Utama

Yayasan PETRONAS agih 500 bakul makanan sempena Kaamatan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular