Curi di pasar raya, jual semula di media sosial 

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 13 Second

CYBERJAYA : Taktik sekumpulan pencuri yang mencuri dan kemudian menjual semula barang dicuri menerusi Facebook, Instagram dan Shopee, hanya sempat aktif dua bulan sebelum ditahan polis dalam dua serbuan berasingan di Johor semalam.

Memetik laporan harian Metro, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, hasil serbuan itu, polis menahan tiga individu termasuk seorang wanita berusia antara 15 hingga 28 tahun.

Katanya, kegiatan itu terbongkar selepas seorang penyelia sebuah pasar raya membuat laporan polis berhubung kecurian beberapa barangan kosmetik di tempat kerjanya

“Pengadu yang mengesan kehilangan barangan itu memeriksa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) sebelum mengesan seorang wanita mencuri barangan berkenaan dengan membawa dua beg milik pasar raya itu pada 9 April lalu.

“Bertindak atas maklumat, polis membuat dua serbuan berasingan antara 3 hingga 5.30 pagi, hari ini.

“Hasil serbuan itu, polis merampas pelbagai barangan kosmetik, tiga pasang kasut, seutas jam tangan, dua beg silang, lima pakaian dan enam beg jenama pasar raya berkenaan,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Raub berkata, soal siasat yang dijalankan terhadap ketiga-tiga suspek mendapati mereka mencuri pelbagai barangan itu sebelum dijual semula secara dalam talian di laman sosial.

“Siasatan lanjut dibuat mendapati suspek wanita berkenaan turut mempunyai empat rekod jenayah lampau berkaitan kes jenayah.

“Orang ramai diingatkan agar sentiasa berhati-hati apabila membuat pembelian secara dalam talian bagi mengelakkan terbeli produk hasil curi kerana ia adalah satu kesalahan mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *