Bekalan ayam di Sabah mencukupi – Jeffrey

Read Time:1 Minute, 6 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan memaklumkan bahawa negeri ini tidak menghadapi masalah kekurangan bekalan ayam.

Jeffrey yang juga Menteri Pertanian dan Perikanan Sabah berkata, rakyat tidak perlu bimbang mengenai isu kekurangan bekalan ayam di Sabah dan beliau memberi jaminan bahawa bekalan ayam di negeri ini adalah mencukupi.

“Kesan kekurangan bekalan ayam tidak teruk di Sabah. Kita juga tidak eksport ayam ke luar negara, namun jika ada lebihan bekalan ayam kita bersedia untuk hantar ke Semenanjung,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk sambutan perayaan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah Tahun 2022 di Sokid Villa, di sini, hari ini.

Jeffrey berkata, apa yang membimbangkan hanya musim perayaan bekalan ayam import berkurangan dan harga ayam naik, selain permintaan tinggi terhadap bahagian kepak ayam sahaja.

Beliau juga turut menggalakkan penduduk di negeri ini supaya mengeluarkan produk makanan sendiri seperti memelihara binatang ternakan dan menanam sayur-sayuran walaupun hanya di halaman rumah sendiri.

“Sekiranya kekurangan bekalan ayam ini berlaku di negeri ini…bah kita belilah ayam kampung,” katanya mengulas lanjut sebagai persediaan menghadapi isu berkenaan.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam kenyataannya semalam menyatakan kerajaan akan menghentikan eksport ayam sebanyak 3.6 juta ekor sebulan, bermula 1 Jun ini, sehingga harga dan pengeluaran ayam untuk kegunaan domestik kembali stabil.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.