Imarah masjid strategi memasjidkan masyakat – Saifulzaman

Read Time:1 Minute, 19 Second

SANDAKAN: Pelaksanaan pengimarahan masjid merupakan antara strategi kerajaan dalam memasjidkan masyarakat.

Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), Datuk Saifulzaman Sangol berkata, pembinaan masjid-masjid baharu dan mengimarahkan jemaah dapat mendekatkan masyarakat kepada masjid. 

“Pembinaan masjid baharu adalah kelangsungan majlis agama yang merupakan antara strategi kerajaan dalam memasjidkan masyarakat.

“Segala program dan aktiviti yang disusun atur bagi tujuan mengimarahkan masjid tentunya berupaya menyentuh hati dan minat umat islam untuk menjadikan masjid bukan sahaja sebagai sumber tempat penyatuan ummah malah berfungsi sebagai pusat sehenti.

“Semoga dengan peralihan ke fasa endemik, kita dapat melangsungkan pelbagai aktiviti pengimarahan masjid dan sentiasa bermuhasabah diri mengambil iktibar di atas setiap musibah serta ujian yang melanda sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Surau Al Kahfi, Taman Rimba yang disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin, di sini semalam.

Pada majlis itu, Tun Juhar turut menyaksikan penyampaian sumbangan oleh Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) dan Perbadanan Baitulmal  masing-masing berjumlah RM13,000 dan RM5,000 kepada surau Al Kahfi bagi tujuan pengimarahan dan utiliti.

Surau tersebut menyediakan bilik solat utama yang boleh memuatkan 500 jemaah dalam satu masa, dilengkapi penghawa dingin dan kipas. 

Selain itu, masjid berkenaan turut menyediakan ruang terbuka bagi aktiviti pengimarahan masjid dalam jumlah jemaah yang ramai selain bilik ruang rehat dan juga tandas lelaki dan wanita. 

Turut hadir, Pembantu Menteri II Kerajaan Tempatan Dan Perumahan Sabah, Mohamad Hamsan Awang Supain, Ahli Parlimen Libaran, Datuk Zakaria Mohd Edris, Imam Besar Negeri Sabah  Suhaidi Kuanting serta Presiden Majlis Perbandaran Sandakan, Benedict Asmat.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.