Sabah siap sedia sambut Pesta Kaamatan Peringkat Negeri secara fizikal tertakluk kepada SOP

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 49 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

KOTA KINABALU: Sabah sudah bersiap sedia mengadakan sambutan perayaan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri secara fizikal pada 30 dan 31 Mei ini.

Timbalan Ketua Menteri/Menteri Pertanian dan Perikanan merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Perayaan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah Tahun 2022, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan, berkata, hasil laporan mesyuarat akhir berkenaan persediaan pelaksanaan sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri, Sabah sudah siap sedia menyambutnya secara fizikal yang akan berlangsung pada 30 dan 31 Mei ini, di Dewan Hongkod Koisaan, Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) Penampang.

Bagaimanapun, beliau berkata, sambutan perayaan ini tertakluk kepada pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

“Setakat ini semua daerah yang telah melaksanakan pelancaran Pesta Kaamatan di kawasan masing-masing, tiada masalah semuanya berjalan lancar.

“Saya juga melihat angka-angka dari laporan harian Covid-19 pun tiada kluster baharu dan kita juga telah melancarkan serta mengadakan Pesta Kaamatan di semenanjung seperti Johor, Melaka, Klang Valley dan Putrajaya dan semua berjalan lancar,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk sambutan perayaan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah Tahun 2022 di Sokid Villa, di sini, hari ini.

Ditanya mengenai anggaran yang akan hadir, Jeffrey menjelaskan bahawa setakat ini semua pengunjung yang telah menghadiri Pesta Kaamatan di daerah-daerah, semuanya mengikut SOP yang telah ditetapkan.

“Dijangkakan akan ramai yang hadir, bagaimanapun, pada pemerhatian saya, semua daerah-daerah yang mengadakan Pesta Kaamatan ini, walaupun mereka (pengunjung) datang tetapi mereka masih berhati-hati dan berdisplin tiada yang ‘cincai-cincai’, tiada yang bertempiaran dan saya harap ia juga berlaku di Pesta Kaamatan Peringkat Negeri nanti supaya kekal mematuhi SOP yang telah ditetapkan iaitu sentiasa memakai pelitup muka semasa menghadiri majlis tersebut.

“Anggaran yang hadir susah mau cakap tapi terhad kepada venue (tempat) itu, namun saya percaya ramai juga yang akan mengikuti program ini melalui internet, facebook, instagram dan youtube malah laporan mesyuarat tadi menyatakan di Tambunan sahaja pada hari pelancaran dilaksanakan ada 15 ribu penonton, ia sangat bermakna,” katanya.

Menurut Jeffrey, Yang di-Pertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin akan merasmikan penutupan perayaan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri pada 31 Mei 2022 manakala Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor akan merasmikan pelancaran pesta itu pada 30 Mei 2022 di Dewan Hongkod Koisaan, KDCA, Penampang.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *