Ambil perhatian jangkitan HFMD di sekolah – Mohamad

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 30 Second

KOTA KINABALU : Semua pentadbir sekolah di seluruh negara diarah untuk memberi perhatian serius kepada jangkitan penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) yang mula mencatat peningkatan kes khususnya dalam kalangan murid sekolah rendah.

Timbalan Menteri Pendidikan II Datuk Mohamad Alamin berkata, pihaknya turut meminta kerjasama ibu bapa untuk memastikan anak jagaan mereka sentiasa mengamalkan tahap kebersihan yang baik saranan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Katanya, ianya amat perlu dan penting bagi memastikan anak mereka tidak dijangkiti HFMD seterusnya mencegah penularan penyakit berkenaan di sekolah.

“Pihak kita khususnya kementerian mengambil perhatian berhubung penularan HFMD yang dilaporkan meningkat sejak kebelakangan ini dan kita juga sedia mengambil apa saja tindakan perlu berdasarkan nasihat KKM.

“Saya difahamkan, di Sabah, sebanyak 2,834 kes HFMD dilaporkan membabitkan kanak-kanak berumur 10 tahun ke bawah. Ini bermakna ada sebahagian daripada mereka adalah murid sekolah.

“Jadi, saya meminta ibu bapa dan pentadbir sekolah mengambil perhatian mengenai perkara ini dengan menjaga kebersihan dan mengambil langkah pencegahan mengikut nasihat KKM supaya tiada penularan berlaku di sekolah.  Saya juga bimbang kerana kes ini banyak dilaporkan,” katanya.

Katanya ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2021 Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) di sini hari ini.

Hadir sama, Pengarah JPNS Tah Nia Jaman.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai langkah diambil KPM bagi memastikan jangkitan HFMD tidak menular ke sekolah.

Dalam pada itu, Mohamad berkata, KPM akan mencari langkah sesuai bagi memperkasa pelajar Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) supaya lebih bersedia apabila melanjutkan pengajian ke luar negara.

“Pada ketika ini ada lulusan STAM yang berjaya mendapat tempat di universiti luar negara gagal menyesuaikan diri dengan suasana pembelajaran baharu menyebabkan mereka terkandas. “Justeru, kita akan cuba cari jalan untuk meningkatkan keupayaan pelajar menyesuaikan diri dengan suasana pembelajaran baharu di luar negara kerana STAM ini laku di luar negara,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *