Jumlah dagangan Malaysia meningkat kepada RM231.4 bilion pada April – Perangkaan

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 12 Second

BERNAMA

CYBERJAYA – – Jumlah dagangan Malaysia pada April 2022 meningkat 21.3 peratus tahun ke tahun kepada RM231.4 bilion, kata Jabatan Perangkaan Malaysia.

Eksport meningkat 20.7 peratus kepada RM127.5 bilion manakala import bernilai RM103.9 bilion (+22.0 peratus).

Bagi April 2022, eksport pakaian dan segala kelengkapan pakaian terpilih meningkat 18.5 peratus tahun ke tahun kepada RM499.9 juta.

Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata di peringkat negeri, Johor mencatatkan eksport tertinggi bagi pakaian dan segala kelengkapan pakaian terpilih bernilai RM272.7 juta (54.5 peratus), diikuti oleh Selangor (RM104.3 juta, 20.9 peratus) dan Perlis (RM41.0 juta, 8.2 peratus).

“Eksport pada April 2022 meningkat sebanyak RM21.9 bilion (+20.7 peratus) berbanding bulan sama tahun sebelumnya manakala import juga meningkat RM18.7 billion (+22.0%) pada April 2022 berbanding bulan sama 2021,” katanya dalam kenyataan Statistik Eksport Import Mengikut Negeri Pada April 2022, hari ini.

Beliau berkata, antara lima negeri pengeksport utama, Pulau Pinang kekal di kedudukan teratas sebanyak 29.3 peratus dan diikuti oleh Johor (20.0 peratus), Selangor (19.5 peratus), Sarawak (8.1 peratus) dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (4.3 peratus).

Bagi import, Selangor kekal sebagai penyumbang utama sebanyak 25.6 peratus, diikuti oleh Pulau Pinang (23.4 peratus), Johor (18.3 peratus), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (7.3 peratus) dan Kedah (5.7 peratus), kata beliau.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *