Pelbagai bantuan, insentif disediakan untuk usahawan agro majukan perniagaan

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 30 Second

TELUPID: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) telah menyediakan pelbagai bentuk bantuan dan insentif kepada individu yang berminat menjadi usahawan agro selain ingin memajukan perniagaan berasaskan pertanian dan industri makanan.

Menterinya, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, ia merupakan antara usaha berterusan Kementerian bagi meningkatkan tahap sara diri (SSL) seterusnya meningkatkan lagi kestabilan jaminan bekalan makanan negara.

Katanya, strategi di bawah Dasar Agromakanan Negara 2.0 (DAN 2.0) juga sedang giat dilaksanakan dalam usaha memperkasa sistem makanan negara agar kekal berdaya tahan dalam mengharungi sebarang krisis masa kini dan di masa hadapan.

“MAFI akan terus berusaha untuk memastikan kebimbangan Keluarga Malaysia tentang bekalan makanan ditangani secara menyeluruh menerusi usaha yang dijalankan oleh Jabatan dan Agensi di bawah MAFI.

“Selain daripada itu, saya juga ingin menyeru agar lebih ramai lagi usahawan khususnya belia melibatkan diri dalam sektor agromakanan agar usaha berterusan sekuriti makanan ini dapat kita tingkatkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Agrocorner Agrobank Telupid di sini hari ini.

Ronald berkata, usahawan-usahawan Agro di daerah ini diseru untuk memanfaatkan kemudahan pembiayaan yang ditawarkan Agrobank bagi membantu mengembangkan perniagaan masing-masing.

Katanya, antara perkhidmatan yang disediakan kepada pengguna Agrobank di Telupid adalah perkhidmatan asas perbankan serta urusan pembiayaan.

“Selain itu, Agrobank turut menyediakan perkhidmatan konsultasi pembiayaan kepada mana-mana usahawan bagi membantu mereka mengembangkan lagi perniagaan.

“Saya dimaklumkan, Agrobank ada menawarkan pelbagai skim pembiayaan khas bagi membantu usahawan mikro yang tergolong dalam kumpulan B40 untuk mendapatkan pembiayaan kewangan khusus bagi membangunkan perniagaan berasaskan pertanian dan industri makanan.

“Dalam hal ini, saya amat menggalakkan agar penduduk Telupid mengambil peluang ini dan berkunjung ke Agrobank Telupid bagi mendapatkan maklumat lanjut berkaitan produk-produk dan perkhidmatan yang disediakan daripada Agrobank,” katanya.

Cawangan Agrobank di Telupid itu merupakan cawangan yang ke-140 selepas turut dibuka di Pekan Beluran pada bulan lalu.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *