Lapan barangan dalam SHMMP Pesta Kaamatan 2022

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 59 Second

KOTA KINABALU:  Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyenaraikan lapan barangan dalam pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Pesta Kaamatan tahun ini.

Pengarah Pejabat KPDNHEP Sabah Georgie Abas berkata, SHMMP Pesta Kaamatan merupakan komitmen KPDNHEP untuk memastikan Keluarga Malaysia sentiasa dilindungi dan tidak terbeban dengan peningkatan kos sara hidup (COL) khususnya sepanjang sambutan yang akan disambut pada 30 dan 31 Mei ini.

Katanya, permintaan ke atas barangan tertentu dijangka akan meningkat sepanjang musim perayaan khususnya Pesta Kaamatan.

“Sebagai langkah untuk menstabilkan harga barangan dan memastikan keberadaan bekalan tertentu di pasaran, Kementerian melaksanakan SHMMP Pesta Kaamatan 2022 bermula 27 Mei 2022 sehingga 2 Jun 2022 iaitu tiga hari sebelum perayaan, satu hari semasa perayaan dan tiga hari selepas perayaan.

“Penentuan harga barangan di Sabah dibuat mengikut kesesuaian harga pasaran semasa hasil dari pemantauan dan kutipan Bahagian Harga Barangan Negara dan Bahagian Penguat Kuasa serta mengambil kira faktor terkini perubahan harga, khususnya bagi barangan import yang dipengaruhi harga di negara asal, perubahan kadar tukaran mata wang dan peningkatan kos utiliti penternak,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Sebanyak lapan barangan akan dikawal semasa SHMMP Pesta Kaamatan iaitu kepak ayam; cili kering; Daging kerbau import (India); Bawang merah kecil (India); Bawang putih (China)  Babi hidup (Harga maksimum di peringkat ladang sahaja); Daging babi (perut) dan Daging babi (daging dan lemak).

Georgie berkata, pihak kementerian telah menentukan harga maksimum di peringkat pengeluar, borong dan runcit berdasarkan kepada maklumat harga yang diperolehi daripada pemantauan harga di semua daerah di seluruh negara dari tahun 2021 dan sehingga Mei 2022.

Katanya, selain itu, pandangan agensi Kerajaan seperti Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV), Jabatan Pertanian Malaysia (DOA) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) turut diambil kiran

“Serta sesi libat urus dengan pengeluar, pengimport, pembekal dan pemborong barangan tersebut turut diadakan,” katanya.

Dalam pada itu, Georgie berkata, seramai 200 orang pegawai penguat kuasa dan 82 orang Pegawai Pemantau Harga di seluruh cawangan KPDNHEP Sabah akan sentiasa berada di lokasi-lokasi yang menjadi tumpuan orang ramai membeli-belah.

Katanya, mereka akan menjalankan pemeriksaan dan pemantauan bagi memastikan pematuhan yang tinggi oleh peniaga ke atas pelaksanaan harga maksimum ini.

“Pihak Kementerian ingin terus mengingatkan peniaga bahawa tindakan tegas akan diambil sekiranya gagal mematuhi peraturan-peraturan di bawah Skim ini.

“Mana-mana peniaga yang melakukan kesalahan akan diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan boleh dikenakan penalti,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *