Hala tuju pembangunan koko dapat dicapai melalui PSLKM dalam tempoh lima tahun

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 54 Second

KOTA KINABALU : Pelan Strategik Lembaga Koko Malaysia (PSLKM) merupakan pelan komprehensif dalam memastikan hala tuju pembangunan industri koko dapat dicapai melalui pelaksanaan projek yang dirancang bagi tempoh lima tahun akan datang.

Pengerusi LKM Rahimah Majid berkata, PSLKM disediakan selaras dengan Dasar Agrikomoditi Negara 2021-2030 (DAKN2030) yang digubal oleh Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi.  

Katanya, terdapat lima teras dasar yang dirujuk iaitu Kemampanan, Produktiviti, Penjanaan Nilai, Pembangunan Pasaran dan Keterangkuman.

“Secara ringkasnya, kelima-lima teras ini dilihat mampu membangunkan rantaian bekalan koko di mana teras Kemampanan dan produktiviti memfokus ke sektor huluan yang melibatkan penanaman koko sehingga pengeluaran biji koko kering.

“Manakala teras Penjanaan Nilai dan Pembangunan Pasaran memfokus ke sektor hiliran yang melibatkan pembuatan produk, perniagaan dan pemasaran. Manakala, teras Keterangkuman iaitu peningkatan taraf ekonomi merangkumi semua kumpulan sasar di sepanjang rantaian bekalan koko,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran PSLKM di sini baru-baru ini.

Rahimah berkata, LKM telah memainkan peranan penting selama tiga dekad untuk membangunkan industri koko negara melalui penyelidikan dan pembangunan, aktiviti pemindahan teknologi pengembangan, pengawalseliaan dan kawalan kualiti serta program pembangunan pasaran.

Katanya, selama tempoh tersebut, industri koko negara mengalami beberapa perubahan seperti dari segi sumbangan ekonomi dan penglibatan pemain industri.

“Contohnya, sektor penanaman koko kini  90 peratus adalah diusahakan oleh pekebun kecil, yang dahulunya banyak diusahakan oleh pihak estet. Terkini, dunia pula mengalami cabaran dari pandemik COVID-19 yang telah menjejaskan sosio-ekonomi negara.

“Oleh itu, PSLKM adalah dirancang untuk menangani isu senario industri Koko semasa dan  merancang program-program ke arah pemulihan terutamanya untuk meningkatkan pendapatan para pemain industri koko terutamanya para penanam koko.

“Selain itu pelan ini juga menyokong ke arah penghasilan coklat berkualiti tinggi yang merupakan tren terkini permintaan terhadap coklat tersebut melalui penggunaan biji koko premium seperti “Single Origin”, “Fine or Flavour Cocoa”, organik serta gred baik yang mampu dikeluarkan oleh petani koko di Malaysia dalam tempoh lima tahun,” katanya.

Katanya, salah satu konsep utama yang dilaksanakan dalam PSLKM adalah konsep ‘farm-to-table’ melalui projek Pembangunan Rantaian Kluster Koko.

“Konsep ini adalah untuk memastikan pemain industri, termasuk penanam koko sehingga pengusaha produk, di sepanjang rantaian industri koko mendapat pulangan yang baik.

“Pengurusan aktiviti dan perniagaan adalah di bawah Koperasi Kluster Koko yang telah diwujudkan di Sabah, Sarawak dan Semenanjung,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *