KPDNHEP Sabah ambil 58 tindakan, peniaga gagal patuhi pelaksanaan PHMAT

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 28 Second

KOTA KINABALU : Sebanyak 58 tindakan sudah diambil Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sabah terhadap pihak yang didapati tidak mematuhi pelaksanaan Penentuan Harga Maksimum bagi Ayam dan Telur (PHMAT) sejak 5 Februari hingga semalam.

Pengarah Pejabat KPDNHEP Sabah Georgie Abas berkata, sepanjang tempoh itu juga sebanyak 9,145 premis di periksa merangkumi pemeriksaan di peringkat peruncit dan pemborong.

“Daripada 58 kes yang dihasilkan, tiga kes adalah di bawah kesalahan menjual barang harga kawalan melebihi harga maksimum yang ditetapkan manakala 51 kes lagi kerana kesalahan gagal menggunakan tanda harga khas berwarna merah jambu dan empat kes membabitkan kesalahan peniaga yang gagal mempamerkan harga.

“Jumlah keseluruhan nilai rampasan bagi 58 kes terbabit adalah RM11,949.01 dan kesemua 58 kes telah dikompaun dengan jumlah nilai kompaun keseluruhan sebanyak RM9,200.00,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Georgie berkata, sebanyak 11 aduan turut diterima dan semua aduan tersebut telah berjaya diselesaikan.

Katanya, peniaga diingatkan untuk tidak mengambil kesempatan dengan menaikkan harga jualan ayam dan telur ayam.

“Tindakan perundangan akan diambil di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011 jika sekiranya seseorang peniaga itu menaikkan harga barang dengan niat untuk mengambil keuntungan berlebihan (mencatut), Notis di bawah Seksyen 21, AKHAP 2011 akan dikeluarkan kepada peniaga terbabit.

“Berdasarkan Notis tersebut, peniaga akan diarahkan untuk mengemukakan dokumentasi yang membuktikan kenaikan harga barangan yang dijualnya adalah disebabkan oleh berlakunya kenaikan kos-kos yang tertentu.

“Selanjutnya analisa kenaikan kos akan dijalankan oleh pihak KPDNHEP dan sekiranya didapati bahawa kenaikan harga barangan terbabit ada unsur pencatutan, peniaga akan didakwa di bawah kesalahan Seksyen 14, AKHAP 2011,” katanya.

Katanya, sekiranya pengguna mempunyai sebarang maklumat berkenaan salah laku peniaga berhubung perkara ini boleh melaporkan kepada pihak KPDNHEP berserta maklumat yang lengkap melalui saluran aduan yang disediakan.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *