TPNS inisiatif bantu lebih ramai anak Sabah lanjut pengajian ke IPT

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 58 Second

KOTA KINABALU: Penubuhan Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) yang bertemakan ‘Peluang Tajaan Untuk Semua’ merupakan salah satu inisiatif dalam Pelan Strategik Transformasi Kumpulan Yayasan Sabah (KYS) 2015-2023.

Pengarah Yayasan Sabah Datuk Seri Gulamhaidar @ Yusof Khan Bahadar berkata, tabung itu juga akan dijadikan sebagai landasan bagi membolehkan lebih ramai anak-anak Sabah berpeluang untuk ke institusi pengajian tinggi.

Katanya, usaha berkenaan juga selaras dengan salah satu teras hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) iaitu meningkatkan pembangunan modal insan dan kesejahteraan rakyat.

“Jika kita dapat membantu lebih ramai anak-anak Sabah melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi, ini akan memperkasakan lagi kualiti pendidikan di negeri ini yang merupakan salah satu teras pembangunan modal insan.

“Hasilnya, anak-anak muda ini akan dapat membantu menggiatkan lagi sektor ekonomi seperti yang terkandung dalam hala tuju SMJ,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

TPNS akan dilancarkan esok oleh Ketua Menteri merangkap Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah Datuk Seri Hajiji Noor bertempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC).

Gulamhaidar berkata, persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN)  Sabah pada 9 Disember 2021 telah meluluskan usul sebulat suara Enakmen Kumpulan Wang Amanah Kerajaan (Pindaan) 2021, yang memperuntukkan dana untuk Pendidikan di Sabah. Enakmen tersebut berkuat kuasa pada 1 Januari 2022.

Katanya, para penderma akan mendapat pelepasan cukai selaras dengan subseksyen 44 (6) Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967.

“Semua sumbangan dana TPNS akan disalurkan kepada Kementerian Kewangan Negeri Sabah melalui Bendahari Negeri bagi mendapatkan 100 peratus pelepasan cukai.

“Dana ini kemudiannya akan disalurkan kepada KYS bagi proses penajaan kepada para pelajar yang layak,” katanya.

Sementara itu, Gulamhaidar berkata, pihaknya turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Ketua Menteri kerana di bawah kepimpinan beliau TPNS kini bakal menjadi realiti.

“Penghargaan juga dirakamkan kepada Menteri Tugas-Tugas Khas, Datuk Dr. Mohd. Arifin Mohd. Arif, selaku Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana TPNS.

“Jawatankuasa Pelaksana yang dipengerusikan oleh beliau (Mohd Ariffin) memainkan peranan penting antaranya mempastikan dasar dan garispanduan tajaan TPNS dapat dilaksanakan selaras dengan objektif penubuhan tabung berkenaan,” katanya.

Dalam pada itu, Gulamhaidar berkata, TPNS memerlukan sumbangan daripada badan-badan korporat, syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat-syarikat antarabangsa, badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan para individu di samping hasil aktiviti amal demi mempastikan kemapanan dana pusingan tersebut.

“KYS akan terus berusaha mengumpul dana pusingan secara berterusan agar setiap pemohon yang berkelayakan mendapat tajaan demi kelangsungan agenda pendidikan Kerajaan Negeri Sabah kepada rakyat negeri ini,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *