PPS buka pusat pelanggan di pedalaman, mudahkan urusan pinjaman kewangan

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 53 Second

SOOK : Pembukaan Pusat Pelanggan Perbadanan Pinjaman Sabah (PPS) di daerah ini akan dapat membantu pelanggan melaksanakan urusan pinjaman dan kemudahan yang disediakan tanpa perlu berkunjung ke Pekan Keningau.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Ellron Angin berkata, pusat pelanggan ini turut menyediakan bantuan dalam bentuk kemudahan pinjaman kewangan melalui produk dan perkhidmatan yang disediakan atau kebajikan melalui program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR).

“Saya amat berbangga dan berterima kasih kepada PPS kerana telah menerima saranan saya untuk mewujudkan Pusat Pelanggan PPS di daerah kecil ini.

“Saya berharap kewujudan pusat pelanggan ini akan dapat membantu meningkatkan dan mempercepat pembangunan sosio-ekonomi di daerah kecil ini terutama penduduk di sekitar daerah kecil ini dan di sekelilingnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan pusat pelanggan PPS di sini baru-baru ini.  Teks ucapan beliau dibacakan Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Flovia Ng.

Ellron yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sook berkata, pembukaan pusat pelanggan itu juga adalah merupakan satu kemudahan kepada rakyat khususnya di kawasan pedalaman seperti yang terkandung dalam pelan pembangunan hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

Katanya, hala tuju SMJ itu turut menekankan modal insan dan kesejahteraan rakyat sebagai salah satu teras utamanya.

“Justeru, pihak Kerajaan melalui PPS akan memastikan bahawa kesejahteraan rakyat akan terpelihara demi melahirkan modal insan yang berjaya,”katanya.

Pada majlis itu, turut diadakan penyerahan projek kebajikan yang dibiayai melalui program CSR PPS melibatkan projek-projek yang dilaksanakan di Nabawan, Sook dan Tulid, selain penyampaian beg dan alat tulis sekolah kepada murid-murid dari beberapa sekolah di kawasan ini.

“Sebagai wakil rakyat kawasan Sook dan bagi pihak wakil-wakil rakyat yang berkenaan, saya ucapkan jutaan terima kasih kepada PPS atas keprihatinan terhadap masyarakat di kawasan-kawasan ini.

“Saya juga sangat berbangga kerana adanya agensi Kerajaan Negeri, seperti PPS yang benar-benar ikhlas, tekun dan penuh iltizam dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawabnya seperti dalam slogan agensi iaitu ‘Profesional, Prihatin dan Sopan’ (PPS),” katanya.

Ellron turut meminta rakyat khususnya di daerah Kecil Sook, Tulid, Nabawan dan sekelilingnya agar terus melanggani dan menyokong PPS kerana agensi tersebut telah menyumbang kepada negeri secara berterusan sejak 67 tahun yang lalu

“PPS adalah satu agensi kebanggaan Kerajaan Negeri yang diurus tadbir dengan baik, cekap, telus dan professional oleh pengurusan dan kakitangan yang kesemuanya anak watan Sabah,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *