HomeIsu tempatanKPDNHEP gagalkan cubaan seleweng minyak masak bersubsidi

KPDNHEP gagalkan cubaan seleweng minyak masak bersubsidi

Read Time:2 Minute, 1 Second

SANDAKAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Cawangan Sandakan berjaya merampas 7,633 kilogram (kg) bersamaan 449 kotak minyak masak bersubsidi pelbagai jenama dalam satu serbuan pada Sabtu lalu.

Serbuan ke sebuah gudang tanpa nombor di Batu 9 Jalan Gereja Sandakan itu dilakukan sepasukan penguatkuasa KPDNHEP Sandakan selepas mendapati premis berkenaan melakukan aktiviti penyelewengan minyak masak paket satu kilogram bersubsidi.

Ketua Cawangan KPDNHEP Sandakan Azdy Zukkry John berkata, hasil risikan selama seminggu di kawasan berkenaan mendapati terdapat lima orang lelaki berusia lingkungan 30 tahun berada di dalam stor haram tersebut.

Antara minyak masak bersubsidi yang dirampas KPDNHEP Sandakan

Katanya, hasil pemeriksaan lanjut mendapati terdapat sebuah lori menyimpan sebanyak 35 kotak minyak masak paket satu kilogram bersubsidi dan 414 kotak lagi berada di dalam stor berkenaan.

“Pemeriksaan lanjut turut mendapati premis berkenaan tidak mempunyai kebenaran dan tidak mempunyai lesen yang sah untuk menyimpan barang kawalan di lokasi berkenaan.

“Pihak kita kemudian bertindak menyita sebuah kenderaan lori, mesin pam, hos getah dan 7,633 kilogram minyak masak bersubsidi dengan nilai rampasan RM 50,282.50,” katanya dalam  kenyataan di sini hari ini.

Azdy berkata, kes berkenaan akan disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan dengan tujuan untuk melakukan kesalahan yang dibaca bersama Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana menjalankan urus niaga barang kawalan tanpa lesen.

Katanya, siasatan juga akan dilakukan di bawah Seksyen 20(1) akta sama kerana menyimpan barang kawalan di tempat yang tidak mendapat kebenaran pengawal.

“Di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122), mana-mana individu yang disabit dengan kesalahan boleh didenda tidak lebih RM1 juta, manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

“Bagi syarikat pula akan disabit kesalahan boleh membawa hukuman denda tidak melebihi RM2 juta, manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5 juta,” katanya.

Azdy berkata, para pemilik kilang membungkus semula (Repacker) minyak masak bersubsidi juga adalah diingatkan agar tidak menjual minyak masak paket satu kilogram bersubsidi kepada pembeli yang tidak memiliki sebarang kebenaran bertulis daripada KPDNHEP.

Katanya, pihak Kementerian juga tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan ke atas mereka yang tidak mematuhi undang-undang serta peraturan yang telah ditetapkan.  

“KPDNHEP Cawangan Sandakan akan terus menjalankan pemeriksaan dan pemantauan secara berterusan ke atas semua kegiatan berkaitan minyak masak paket satu kilogram bersubsidi agar tidak berlaku sebarang bentuk penyelewengan terhadap barang kawalan berkenaan,” katanya.

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

Lapan finalis berentap dalam kategori remaja MTHQ

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya