HomeIsu tempatanKYS rancakkan usaha konservasi, promosi TRCA sebagai sebuah pusat kajian dan ekopelancongan

KYS rancakkan usaha konservasi, promosi TRCA sebagai sebuah pusat kajian dan ekopelancongan

Read Time:1 Minute, 54 Second

KOTA KINABALU: Kumpulan Yayasan Sabah (KYS) terus merancakkan usaha konservasi menerusi penganjuran Eksplorasi Saintifik di Kawasan Konservasi Sungai Taliwas (TRCA) bagi mempromosikan TRCA sebagai sebuah pusat kajian dan ekopelancongan yang terkenal di Sabah.

Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Seri Gulamhaidar @ Yusof Khan Bahadar berkata, KYS mengambil inisiatif mengadakan eksplorasi saintifik TRCA bagi mengkaji kepelbagaian bio, sumber asli dan potensi TRCA untuk merangka pelan pembangunan dan aktiviti konservasi di kawasan tersebut.

“Eksplorasi Saintifik ini dilaksanakan bermula 7 hingga 17 Jun ini yang terbahagi kepada lima topik utama iaitu sains fizikal, kepelbagaian flora, kepelbagaian fauna, sains sosial dan penggunaan sumber.

“Maklumat yang diperoleh hasil eksplorasi ini penting bagi merangka pelan pengurusan strategik TRCA.

“Seramai 150 orang peserta menyertai eksplorasi ini yang terdiri daripada para penyelidik, pembantu penyelidik serta kakitangan KYS sebagai kakitangan sokongan,” katanya.

Katanya dalam kenyataan selepas menghadiri majlis pelepasan (Flag-Off) eksplorasi ini di Podium, Menara Tun Mustapha, di sini hari ini.

Gulamhaidar berkata, eksplorasi saintifik ini adalah penekanan berterusan ke atas aspek-aspek pemeliharaan dan pemuliharaan dalam mempertingkatkan keberkesanan pengurusan, pemeliharaan dan pembangunan sumber kepelbagaian biologi hutan negara secara berkekalan.

“Saya yakin melalui eksplorasi yang dilaksanakan ini, pelbagai penemuan yang signifikan bagi flora dan fauna akan berjaya direkodkan.

“Terima kasih saya ucapkan kepada jabatan-jabatan dan institusi yang telah memberi kerjasama dalam menjayakan eksplorasi ini. Semoga kerjasama yang terjalin ini akan berterusan pada masa hadapan.

“Kepada para peserta, semoga maju jaya dalam menjalankan kajian dalam eksplorasi ini dan menghasilkan penyelidikan yang berjaya,” katanya.

Sehubungan dengan itu, bagi memastikan program ini berjalan dengan lancar, satu jawatankuasa penganjur telah ditubuhkan dengan KYS sebagai penganjur utama serta kerjasama daripada pelbagai jabatan kerajaan dan badan bukan kerajaan.

Antara yang terlibat Jabatan Perhutanan Sabah, Jabatan Hidupan Liar, WWF-Malaysia, Taman-taman Sabah dan daripada institusi pendidikan iaitu Universiti Malaysia Sabah dan Universiti Teknologi MARA.

TRCA terletak 36 km dari bandar Lahad Datu dan 45 km dari bahagian timur Kawasan Konservasi Lembah Danum.

TRCA terdiri daripada kawasan hutan pamah dan ultramafik yang unik dengan saiz seluas 9,546 hektar. TRCA merangkumi Hutan Simpan Sungai Segama yang bersebelahan dengan Hutan Simpan Sepagaya (termasuk Bukit Silam) dan Hutan Simpan Dara Kawang – Gibong.

Kawasan ini dinaik taraf dan diwartakan sebagai Hutan Simpan Kelas I (Perlindungan) dan dimasukkan sebagai salah satu kawasan pengurusan Jawatankuasa Pengurusan Lembah Danum pada 10 Mei 2012.

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

Lapan finalis berentap dalam kategori remaja MTHQ

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya