Proud, Vibrant KK City Gateway tambah baik perkhidmatan kepada pembayar cukai

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 54 Second

KOTA KINABALU : Pelancaran ‘Proud’  dan ‘Vibrant KK City Gateway’ yang dilaksanakan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) merupakan usaha bagi menambahbaik perkhidmatan yang diberikan kepada pembayar cukai.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri yang juga Menteri bertanggungjawab kepada DBKK, Datuk Abidin Madingkir berkata, aplikasi mudah alih merupakan trend terkini dan merupakan salah satu medium efektif dalam proses penyampaian maklumat dua hala di antara pemberi perkhidmatan dan pelanggan.

“Sukacita saya maklumkan bahawa ‘Proud’ merupakan singkatan kepada ‘Property Update Details Mobile Application’ yang telah dibangunkan bagi memberi kemudahan kepada pemilik hartanah berkadar dalam membuat permohonan pengemaskinian maklumat hartanah dan pemilikan hartanah berkadar khususnya bil cukai kadaran yang terletak dalam kawasan perkadaran DBKK secara mudah alih.

“Aplikasi mudah alih ‘Proud’ ini akan dapat memberi kemudahan kepada pemilik hartanah bagi mengemaskini maklumat tersebut tanpa perlu datang ke pejabat DBKK.

“Mereka (pemilik hartanah berkadar) hanya perlu memuat turun aplikasi ini dan membuat permohonan pengemaskinian maklumat,” katanya ketika berucap sempena Majlis Pelancaran ‘Proud’ dan ‘Vibrant KK City Gateway’ di sini hari ini.

Hadir sama Datuk Bandar Kota Kinabalu Datuk Noorliza Awang Alip 

Abidin berkata, Proud turut menawarkan tiga perkhidmatan permohonan pengemaskinian maklumat hartanah berkadar termasuklah pengemaskinian alamat surat menyurat; pengemaskinian maklumat pemilik hartanah dan pengemaskinian maklumat hartanah.

Katanya yang turut berharap agar aplikasi Proud ini akan dapat memudahkan lagi pemilik hartanah berkadar bagi mengemaskini maklumat pemilihan hartanah dan alamat surat menyurat.

Sementara itu, Abidin berkata, program Love KK yang dilancarkan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor pada 2 April lalu merupakan inisiatif DBKK bagi menggalakkan penyertaan warga bandaraya melaksanakan aktiviti kemasyarakatan 

Katanya, objektif program ini adalah bagi membentuk dan membangunkan komuniti yang inklusif dalam persekitaran bandaraya berkualiti dan berdaya huni.

“Komponen di dalam program Love KK ini adalah merangkumi KK Bersih; KK Indah; KK Berdaya Huni; KK Warisan; KK Hijau; KK Ceria dan KK Sihat.

“Oleh yang demikian, sebagai salah satu komponen dalam program Love KK iaitu KK Ceria (Vibrant KK), portal vibrant KK City Gateway telah dibangunkan oleh jawatankuasa Vibrant KK.

“Tujuan pembangunan portal Vibrant KK City Gateway ini adalah untuk memberikan kemudahan kepada orang ramai untuk mengakses portal lain dalam bandaraya Kota Kinabalu,” katanya.

Katanya, ianya termasuklah yang berkaitan pelancongan dan rekreasi; makanan dan minuman seperti restoran, bar dan kafe dan sebagainya;  hiburan; pekerjaan; perniagaan; kemudahan m.i.c.e; pendidikan dan latihan.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *