Karnival Kerjaya Belia di Pensiangan bantu anak muda cari pekerjaan

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 25 Second

SOOK : Lebih 1,000 pekerjaan ditawarkan menerusi penganjuran Karnival Kerjaya Belia Parlimen Pensiangan yang berlangsung selama dua hari di sini semalam.

Program anjuran bersama Pejabat Ahli Parlimen Pensiangan dan PERKESO Negeri Sabah itu turut disertai 15 majikan terdiri daripada pelbagai sektor antaranya perkhidmatan, perhotelan, teknologi maklumat dan pelbagai lagi.

Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, program itu dibawakan khas kepada anak muda di kawasan pedalaman khususnya belia di Parlimen Pensiangan bagi memudahkan mereka mencari pekerjaan yang bersesuaian.

Katanya, karnival itu juga merupakan peluang kepada para belia untuk bersama-sama menyumbang kepada pemulihan ekonomi negara.

“Banyak peluang pekerjaan akan wujud apabila Kerajaan mula membuka semula sektor-sektor perniagaan dan ekonomi negara kita.

“Sebagai wakil rakyat saya berharap belia dan beliawanis akan diutamakan ketika proses temuduga ini,” katanya.

Dalam pada itu, Arthur berkata, pelbagai usaha telah dilaksanakan dalam memperkasakan golongan belia termasuk pelaksanaan Program Bantuan Lesen Keluarga Malaysia.

Katanya, ianya adalah bagi memastikan para belia mempunyai lesen yang sah, meningkatkan ketersambungan infrastruktur asas seperti jalan raya dan juga capaian telekomunikasi bagi memastikan para belia mempunyai akses kepada peluang-peluang ekonomi.

Dalam pada itu, Pengarah PERKESO Negeri Sabah Dr. Mohd Ali Hindia berkata, program seumpama itu akan diteruskan lagi di daerah-daerah di negeri Sabah bagi membantu Kerajaan mengurangkan kadar pengganguran terutamanya dalam kalangan belia.

“Seperti mana yang dikatakan YB Datuk sebentar tadi, program ini perlulah mendapat sokongan daripada penduduk tempatan supaya kita dapat memberikan ruang dan peluang untuk kelangsungan hidup terutamanya bagi masyarakat di luar bandar.” katanya.

Ketika majlis perasmian, PERKESO Negeri Sabah turut menyampaikan sumbangan Faedah PERKESO (Akta 4 dan Akta 800) kepada ahli pencarum disamping menyerahkan Surat Tawaran Bekerja kepada pencari kerjaya yang telah berjaya mendapatkan kerja di sesi temuduga terbuka.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *