RM22 juta bantuan ESHN disalurkan kepada 7,671 penerima di Sabah tahun ini

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 35 Second

BELURAN : Sebanyak RM22 juta disalurkan kepada 7,671 penerima bantuan Elaun Sara Hidup Nelayan (ESHN) di Sabah pada tahun ini.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, bagi ahli Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Beluran, seramai 619 orang nelayan adalah penerima ESHN melibatkan peruntukan sebanyak RM176,000 dan akan menerima bantuan secara tunai pada hari ini.

Katanya, pemberian ESHN merupakan program bantuan dalam bentuk kewangan yang diberikan setiap bulan kepada pemilik vessel/bot perikanan dan pekerja (awak-awak) yang layak.

“Nelayan yang layak dipertimbangkan untuk bayaran ESHN adalah nelayanwarganegara Malaysia yang mempunyai lesen vessel/bot yang sah, berusia 18 tahun ke atas serta golongan kategori pemilik vessel/bot perikanan Zon A sahaja dan awak-awak Zon A, B, C dan C2,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika pada Majlis Penyerahan ESHN PNK Beluran di sini hari ini.

ESHN berjumlah RM300 yang diberikan setiap bulan kepada nelayan ini juga menunjukkan keprihatinan dan komitmen Kerajaan Persekutuan melalui Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dalam memainkan peranan menjaga kebajikan serta memperbaiki kedudukan sosio-ekonomi nelayan.

Kadar ESHN juga telah ditingkatkan Kerajaan bermula Januari 2021, iaitu daripada RM 250 kepada RM300 sebulan dan ia merupakan manifestasi dan bukti keprihatinan Kerajaan terhadap golongan nelayan.

Pada majlis itu juga, Dr. Ronald turut menyerahkan ‘Mock Cheque’ bantuan bangunan baharu PNK Beluran dengan peruntukan sebanyak RM528,000.

Dr Ronald berkata, pihaknya berharap lebih ramai nelayan didaftar sebagai ahli untuk memperoleh bantuan Kerajaan seperti permohonan lesen perahu dan lesen perikanan melalui PNK Beluran dan PNK baharu di Sugut yang bakal diwujudkan nanti.

Katanya, kerajaan melalui kementeriannya dan LKIM akan terus menjaga kebajikan serta memperbaiki kedudukan sosio-ekonomi golongan nelayan yang merupakan antara barisan hadapan penting dalam memastikan kelangsungan bekalan makanan negara.

“Kerajaan telah mengolah pelbagai program prihatin nelayan seperti membaiki perumahan nelayan, infrastruktur asas rumah perhubungan jambatan dan ESHN dipastikan sampai serta program bantuan peralatan perikanan diteruskan untuk memastikan kelangsungan bekalan makanan negara,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *