UMS meterai persefahaman dengan dua Universiti di Turkiye

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:2 Minute, 32 Second

ISTANBUL: Hubungan akrab yang sedia terjalin antara Malaysia dan Turkiye sejak sekian lama terus dimanfaatkan oleh Malaysia dalam meneroka kerjasama khususnya dalam bidang pengajian tinggi antara kedua-dua negara.

Menteri Pengajian Tinggi Malaysia, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, pihak kementerian sentiasa menyokong usaha institusi pengajian tinggi (IPT) di Malaysia untuk mengadakan kerjasama dalam bidang akademik, pertukaran pelajar dan kakitangan, mahupun dalam aktiviti penyelidikan.

“Kerjasama dua hala antara IPT kedua-dua negara bukan sahaja bakal meningkatkan keterlihatan universiti-universiti di Malaysia di peringkat antarabangsa, malah turut berpotensi untuk menarik kehadiran pelajar antarabangsa ke Malaysia, serta mampu untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Universiti Malaysia Sabah (UMS) dengan dengan Yildiz Technical Universiti (YTU) dan Marmara University (MU), di sini, semalam.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk ChM. Ts. Dr. Taufiq Yap Yun Hin memaklumkan bahawa MoU yang ditandatangani bersama YTU merupakan kerjasama dalam aktiviti pertukaran pelajar dan kakitangan di bawah program Erasmus, kerjasama dan penyelarasan projek penyelidikan bersama dan penganjuran aktiviti pembangunan kokurikulum pelajar seperti persidangan akademik, syarahan, kursus latihan pendek khas, seminar dan simposium.

“Melalui MoU tersebut kedua-dua universiti akan berkongsi Geran Mobiliti Erasmus yang sepadan untuk menaja sekurang-kurangnya pertukaran tiga orang pelajar selama satu semester, tiga pensyarah universiti untuk pertukaran staf akademik, dan tiga staf pentadbir selama lima hari setiap seorang.

“Tajuk penyelidikan bersama atau geran padanan yang akan dirancang adalah berkenaan kebolehpasaran siswazah, serta kesediaan siswazah untuk tenaga kerja.

“Penyelidikan ini mengkaji pengaruh faktor akademik dan kemahiran insaniah terhadap kebolehpasaran graduan pelajar pengajian tinggi di Malaysia dan Turkiye,” katanya.

Taufiq mewakili UMS menandatangani perjanjian tersebut, manakala YTU diwakili Rektor, Prof. Dr. Tamer Yilmaz.

Bagi perjanjian bersama MU pula, Taufiq berkata kerjasama bakal menumpukan program mobiliti pelajar bertujuan untuk meningkatkan pengalaman pembelajaran pelajar dengan pendedahan kepada aspek budaya, ekonomi, politik, akademik dan seterusnya pembangunan minda pelajar.

“Melalui program mobiliti staf di bawah program Erasmus pula secara tidak langsung memberi latihan dan meningkatkan kemahiran staf dalam pengajaran, penyelidikan dan pembangunan universiti sekali gus mempromosi UMS di peringkat antarabangsa.

“MoU dengan universiti ini juga menyaksikan Geran Mobiliti Erasmus sekurang-kurangnya bakal memberi faedah kepada tiga pelajar bagi program pertukaran pelajar selama satu semester, masing-masing tiga staf akademik dan pentadbir bagi tempoh lima hari,” kata Taufiq.

Beliau menambah, kolaborasi lain yang dirancang ialah projek penyelidikan bersama bertajuk ‘Peranan dan kesan gaji minimum dalam pemulihan ekonomi pasca pandemik: Kajian perbandingan Malaysia dan Turkiye’.

“Kajian ini bertujuan untuk mengupas isu dan persoalan tentang sejauh mana pelaksanaan gaji minimum dapat mengurangkan peningkatan kemiskinan dan ketidaksamaan pendapatan di Turkiye dan Malaysia, dan bagaimana ia dapat menyumbang kepada kestabilan ekonomi dan pemulihan kedua-dua negara terutamanya pada ketika dunia masih berdepan dengan penularan pandemik COVID-19,” katanya.

Acara menandatangani perjanjian itu menyaksikan UMS diwakili Taufiq manakala MU ditandatangani Rektor Prof. Dr. Mustafa Kurt.

Ujar Taufiq, kerjasama bersama kedua-dua universiti tersebut merupakan satu usaha UMS untuk meneruskan momentum peningkatan peratus kebolehpasaran graduan UMS yang telah mencatatkan peratusan sebanyak 96.2% pada tahun lalu berbanding 92.02% pada tahun sebelumnya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *