HomeEkonomiMimpi jadi kenyataan, Kerepek Mina menembusi pasaran antarabangsa

Mimpi jadi kenyataan, Kerepek Mina menembusi pasaran antarabangsa

Read Time:3 Minute, 13 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

KOTA KINABALU: Seorang usahawan pengusaha kecil dan sederhana (PKS) bumiputera Sabah tidak menyangka produk makanannya Kerepek Mina yang berasaskan ubi kayu dan pisang sudah menembusi pasaran antarabangsa.

“Ia seakan mimpi… kini mimpi jadi kenyataan,” kata usahawan PKS Rosmawati @ Rozie Sanda, 49, bersama suaminya Acho Kali, 52, ketika mengikuti rombongan usahawan Malaysia dalam program Kempen ‘Taste of Sabah’ di United Kingdom (UK) dan Eropah pada 9 Mei hingga 16 Mei 2022 bagi mempromosikan produk keluaran rakyat Malaysia khususnya usahawan PKS bumiputera Sabah.

Kini, Rosmawati sedang giat menyediakan tempahan Kerepek Mina untuk dihantar kepada ejen-ejen jualan di London pada hujung bulan Jun ini.

Pameran `Taste of Sabah’ dilancarkan oleh Pusat Sehenti Usahawan Global (GLOPEC) di bawah Yayasan Sabah pada 12 Mei 2022 di London.

Pengarah GLOPEC, Azmi Aziz berkata, pameran tersebut membabitkan demonstrasi dan merasa makanan untuk usahawan GLOPEC telah berlangsung di Kensington, United Kingdom, sejak Disember tahun lalu hingga Mac lepas.

Katanya, program ini mengetengahkan produk PKS yang dihasilkan dari usahawan bumiputera negeri di bawah bayu ini. GLOPEC merupakan usaha berterusan Yayasan Sabah dengan kerjasama Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) bagi merancakkan lagi usaha memperkasakan usahawan PKS Sabah, serta membuka pasaran global.

Dalam pada itu, kerajaan Negeri menerusi hala tuju pelan pembangunan negeri, Sabah Maju Jaya (SMJ) berteraskan modal insan dan kesejahteraan rakyat sangat komited untuk membantu usahawan-usahawan PKS yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

Justeru, melihat kegigihan Rosmawati dalam usaha meningkatkan produknya, beliau diberi geran pinjaman daripada SME Corporation Malaysia sebanyak RM120,000 untuk membeli mesin pemprosesan kerepek secara berskala besar dan berteknologi tinggi pada awal tahun 2022.

“Selain mendapat sokongan dari Kementerian Pembangunan Perindustrian (MID), agensi-agensi kerajaan lain turut membantu seperti Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM) serta Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan (DIDR) Sabah,” katanya ketika ditemui pemberita Sabah Media di kilang pemprosesan kerepeknya, Mina Trading, di Bandar Sierra, dekat sini baru-baru ini.

Rosmawati berasal dari daerah Semporna, mempunyai tiga orang cahayamata, turut berkongsi cerita dan mengimbas kembali ketika kerajaan melaksanakan perintah kawalan pergerakan (PKP) pada bulan Mac 2020 berikutan peningkatan jumlah kes jangkitan COVID-19 di negara ini.

Katanya, seperti peniaga lain mereka juga amat terkesan semasa pelaksanaan PKP kerana pada ketika itu produk mereka telah pun dibungkus sebanyak 10 tan bernilai kira-kira RM100,000 untuk dipasarkan.

“Sasaran pasaran adalah untuk memenuhi permintaan pelanggan bagi perayaan-perayaan Tahun Baru Cina, Hari Raya Aidilfitri dan Pesta Kaamatan pada tahun 2020 namun mereka tidak berputus asa dan mencari jalan penyelesaian untuk menjual semua produk tersebut.

“Saya amat bersyukur kepada Allah SWT kerana membuka jalan kepada perniagaan kami menjadi lebih kreatif dalam memasarkan produk kami semasa PKP dilaksanakan.

“Saya dan suami terpaksa belajar cara memasarkan produk secara dalam talian (online) walaupun selama ini sejak 2002 kami membuka perniagaan ini hanya memasarkan secara offline iaitu secara bersemuka.

“Itulah hikmahnya, kami terpaksa ubah pendekatan cara mempromosikan produk-produk kami dengan melabur membeli komputer riba dan membayar tenaga pengajar yang mahir serta belajar melalui aplikasi “zoom meeting” iaitu cara-cara memasarkan produk secara dalam talian dengan lebih berkesan.

“Alhamdulillah, cara ini amat berkesan, produk kami habis terjual dalam masa dua bulan pada masa itu,” katanya sambil menambah menasihatkan kepada semua usahawan PKS supaya terus berusaha dan gali ilmu sedalam-dalamnya untuk meningkatkan produk jualan mereka.

“Kita berurusan dengan dengan manusia, berjualan dengan manusia, semua persekitaran dengan manusia, malah menjual makanan anjing atau kucing pun kita bukan cari anjing dan kucing tetapi kita cari manusia, jadi jangan kedekut melabur untuk tuntut ilmu, mesti ada jalan di luar sana, cari guru yang mahir dan diiktiraf kejayaannya, cari cara berniaga dengan betul, maka betullah kita punya perjalanan sekiranya kita ingin berjaya dalam apa juga aktiviti perniagaan yang kita jalankan,” tegasnya.

Rosmawati juga bercadang memperluaskan perniagaannya hingga ke negara China, negara jiran Brunei Darussalam, Indonesia dan Filipna, selain memperhebatkan jualan produknya di pasaran dalam negeri dan di negeri-negeri Semenanjung Malaysia.

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

UMS raih penganugerahan sijil pematuhan SAGA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular