Sabah fokus bangunkan pelancongan kesihatan dan kesejahteraan

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:2 Minute, 6 Second

KOTA KINABALU: Majlis Pelancongan Kesihatan dan Kesejahteraan Sabah (SHWTC) bakal ditubuhkan bagi membantu memasarkan negeri ini sebagai destinasi pelancongan kesihatan.

Pengarah urusan Medisinar Dr Anil Kumar berkata, majlis itu akan bertindak sebagai sebuah pusat sehenti untuk semua perkara yang berkaitan dengan paradigma kesihatan.

“Majlis ini adalah bertujuan untuk memberi dorongan dan tumpuan untuk menempatkan pelancongan kesihatan dan kesejahteraan Sabah di persada dunia.

“Kita sudah mempunyai prasarana dan kemudahan untuk tujuan ini. Sudah tentu sektor pelancongan kesihatan akan menjadi pasaran baharu bagi negeri ini yang mampu membawa hasil yang tinggi,” katanya.

Beliau yang turut mengetuai jawatankuasa pro-tem SHWTC itu berkata demikian ketika mengadakan pertemuan dengan Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan, dan Alam Sekitar, Datuk Joniston Bangkuai di sini baru-baru ini.

Tujuan pertemuan itu adalah bagi membincangkan pembentukan SHWTC selain menmpelawa Joniston untuk menjadi penasihat Majlis. Turut hadir pada mesyuarat itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sabah (STB) Noredah Othman.

Dr Anil berkata, pihaknya mahu bekerjasama dengan STB dalam mempromosikan sektor itu secara berkesan dan menarik orang ramai dari negara jiran, khususnya kawasan BIMP-EAGA, untuk mendapatkan rawatan penjagaan kesihatan dan kesejahteraan di Sabah.

Dalam pada itu, Joniston memberi jaminan bahawa STB akan bekerjasama rapat dengan ahli professional kesihatan tempatan untuk menjadikan Sabah sebagai pilihan destinasi pelancongan penjagaan kesihatan.

“Langkah ini tepat pada masanya kerana di negeri-negeri lain seperti Pulau Pinang dan Melaka, mereka sudah mempunyai majlis pelancongan penjagaan kesihatan. Ia juga selaras dengan usaha STB untuk menarik pelancong mewah.

“Kita telah berjaya dalam sektor pelancongan lain, seperti pelancongan luar bandar, dan tidak ada sebab mengapa Sabah tidak boleh melakukan perkara yang sama dalam pelancongan kesihatan.

“Semua pihak harus bekerjasama rapat untuk mencapai matlamat, membangunkan pelan strategik untuk mempromosikan perkhidmatan penjagaan kesihatan di negeri ini, dan melihat prospek pasaran sasaran, terutamanya apabila Nusantara bakal menjadi ibu negara baharu Indonesia,” katanya.

Joniston turut mencadangkan agar jawatankuasa SHWTC mempertimbangkan untuk mengambil wakil daripada agensi kerajaan dan swasta lain yang berkaitan sebagai ahli.

Sementara itu, Noredah berkata STB telah mula mempromosikan pelancongan kesihatan melalui Majlis Pelancongan Penjagaan Kesihatan Malaysia.

Namun begitu, beliau berkata pihak STB bersedia untuk menyertai SHWTC bagi berkongsi pengalaman dan kemahiran dalam membangunkan pakej yang berdaya maju untuk pelancongan kesihatan di Sabah.

“Adalah penting untuk mempunyai pengamal perubatan dan kesihatan yang boleh mendidik pihak berkepentingan seperti pengusaha hotel dan pengusaha pelancongan mengenai pelbagai pilihan penjagaan kesihatan yang tersedia untuk para pelancong.

“Pihak STB berbesar hati untuk bekerjasama dengan SHTWC untuk mengadakan bengkel untuk pemain pelancongan bagi meningkatkan kesedaran mereka tentang tawaran pelancongan kesihatan di negeri ini,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *