Terlalu banyak kenangan, sukar untuk ditinggalkan – Wasli

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:2 Minute, 22 Second

PUTATAN : “Terlalu banyak kenangan dirumah ini terutama dalam membesarkan 10 orang anak sejak lebih 40 tahun yang lalu,” kata Wasli Rusak,77, salah seorang mangsa kebakaran di Kampung Contoh Petagas di sini malam tadi.

Beliau yang merupakan antara penduduk terawal tinggal dikampung itu sejak tahun 1978 mengakui masih rasa terkejut selain sedih dengan kejadian yang berlaku namun tetap redha dengan apa yang berlaku.

Rosyamrin bersama ayahnya ketika melihat rumah mereka yang musnah semalam

Katanya, rumah itu juga banyak memberi jasa kepada penduduk setempat dan individu yang ingin mendapatkan rawatan secara tradisional.

“Rumah ini banyak kenangan bagi saya, bermula dari rumah lama pada tahun 1978 dan sehinggalah diubahsuai kepada yang baharu, anak-anak banyak membesar disini.

“Pendapatan ketika bekerja sebagai penjawat awam negeri dahulu selain memberi rawatan tradisional juga menjadi antara punca pendapatan untuk kami sekeluarga yang tinggal dirumah ini.

Shahelmey (kanan) ketika meninjau kawasan kejadian kebakaran di Kampung Contoh pagi tadi.

“Ketika kejadian, saya agak terkejut dan sukar untuk keluar dari rumah ini sehinggalah anak saya tarik untuk keluar menyelamatkan diri, sebaik keluar saya lihat api sudah semakin dekat,” katanya ketika ditemui Sabah Media di perkarangan rumahnya di sini hari ini.

Wasli berkata, hanya Mykad dan telefon bimbit sahaja yang dapat diselamatkan manakala barangan termasuk dokumen lain tidak dapat diselamatkan.

Sementara itu, anak bongsunya, Rosyamrin Wasli,32,berkata, ketika kejadian dia bersama beberapa orang jiran berada diluar rumah dan hanya menyedari selepas terlihat asap keluar dari rumah yang terbakar.

Katanya, kejadian luar jangka itu terus merebak dengan cepat apabila turut kedengaran bunyi meletup dari rumah yang lain.

Rosyamrin Wasli

“Sebaik kejadian, perkara pertama saya lakukan adalah mematikan suis utama dan selepas itu saya segera mencari ayah saya yang berada di rumah namun pada ketika itu dia seolah-olah tidak mahu keluar namun saya terpaksa tarik dia keluar selamatkan diri.

“Memang diakui saya ada rasa panik, selain menyelamatkan ayah, saya juga turut segera menyelamatkan isteri dan anak manakala ahli keluarga lain juga turut menyelamatkan apa yang perlu,” katanya.

Rosyamrin yang bertugas di salah sebuah bank di Kota Kinabalu berkata, ayahnya terlalu sayangkan rumah berkenaan sehingga tidak dapat meninggalkan rumah berkenaan meskipun dibawa bercuti mahupun balik ke kampung.

Katanya, ekoran kejadian itu juga, anaknya berusia enam tahun turut mengalami trauma namun bersyukur semua ahli keluarga berada dalam keadaan selamat.

Tambahnya, dia tidak sempat menyelamatkan sebarang dokumen penting dan hanya dapat memindahkan kenderaan ke tempat selamat.

“Meskipun dalam keadaan kelam-kabut, ahli keluarga dan jiran lain sempat mengeluarkan kereta yang berada berhampiran kejadian namun dokumen kami tidak mampu selamatkan. Kami hanya sehelai sepinggang dan syukur nyawa juga selamat,” katanya.

Pada ketika ini, Rosyamrin dan ahli keluarga yang lain tinggal dirumah jiran berhampiran dengan rumahnya yang musnah semalam.

Dalam pada itu, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Datuk Ir Shahelmey Yahya turut meninjau kawasan kejadian kebakaran itu pagi tadi selain menyampaikan sumbangan kepada Ketua Isi Rumah (KIR) terlibat.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *