Penjawat awam perlu sentiasa telus, berwibawa laksana tugas dan tanggungjawab

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 14 Second

KOTA KINABALU : Penjawat awam yang diberi amanah dan tanggungjawab dalam melaksanakan tugas perlu sentiasa telus, tulus, tiada konflik peribadi dan berwibawa.

Menteri Belia dan Sukan Sabah Datuk Ellron Angin berkata, para penjawat awam juga perlu mempunyai akauntabiliti, patuh kepada undang-undang dan peraturan semasa yang berkuatkuasa dan lebih mengutamakan kepentingan awam.

“Sekiranya semua ini dipraktikkan integriti khususnya di Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Sabah akan lebih mantap dan cemerlang.

“Oleh itu, saya menyeru kepada semua warga kementerian agar menghayati dan mengamalkan nilai-nilai integriti  seperti yang disebut dalam Ikrar Bebas Rasuah (IBR) dan dalam setiap bait lagu Integriti Negeri Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Minggu Integriti KBS Sabah 2022 di sini baru-baru ini.

Ellron berkata, pihaknya telah melihat usaha dan kesungguhan pengurusan kepimpinan di Kementerian itu yang sentiasa berusaha memperbaiki dan mempertingkatkan sistem dan budaya kerja yang lebih baik dan teratur.

Katanya, ini adalah demi mengelak dan membendung segala teguran dan mencegah sebarang perkara yang negatif samada dari dalam dan luar Kementerian ini.

“Saya menyokong usaha yang berterusan ini dan menyeru kesemua warga Kementerian agar sama-sama bersatu hati memantapkan integriti demi kesejahteraan semua,” katanya.

Dalam pada itu, Ellron berkata, integriti secara umumnya ialah kualiti unggul  yang wujud secara keseluruhan dan padu pada individu dan organisasi yang memberi penekanan kepada etika kerja yang berlandaskan tugasan pada setiap hari.

Katanya, keselarasan di antara amalan dan tindakan dengan prinsip moral, etika dan peraturan perkhidmatan awam hendaklah konsisten dalam semua aspek.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *