HomeUtamaBangunkan sektor pelancongan berasaskan makanan di Tawau - Jafry

Bangunkan sektor pelancongan berasaskan makanan di Tawau – Jafry

Read Time:1 Minute, 27 Second

TAWAU : Majlis Perbandaran Tawau (MPT) diseru untuk membangunkan sektor pelancongan di daerah itu berasaskan makanan atau pelancongan gastronomi.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, ia berikutan daerah Tawau begitu terkenal dengan statusnya sebagai Syurga Makanan.

“Kita mahu menarik pelancong untuk datang ke Tawau bagi merasai atau menikmati makanan yang dijadikan sebagai `trademark` sesuatu kawasan.

“Masyarakat Tawau yang terdiri daripada pelbagai etnik telah mewujudkan variasi citarasa makanan tersendiri yang turut melambangkan tradisi mahupun adat resam yang diamalkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan ke MPT di sini semalam.

Jafry berkata, sebagai contoh, masyarakat Bugis cukup dikenali dengan pelbagai adat dan tradisi termasuklah jenis-jenis makanannya yang unik dan menarik dari segi rasa serta cara pembuatannya.

Katanya, antara  makanan tradisi mereka adalah seperti Burasak, Barobok, Tumbu dan banyak lagi.

“Justeru, saya yakin usaha menarik pelancong untuk datang menikmati makanan bakal menjadi nilai tambah kepada produk pelancongan di daerah itu,” katanya.

Di samping itu, Jafry berkata, bagi mengukuhkan lagi produk pelancongan gastronomi, produk dan aktiviti Pelancongan Berasaskan Komuniti (CBT) juga perlu terus dibangunkan.

Katanya, Tawau mempunyai kelebihan pusat pelancongan yang tersendiri khususnya dari segi kekayaan biodiversiti alam semulajadinya.

“Antara tempat menarik yang kini sedang dinaiktaraf kemudahan infrastrukturnya adalah termasuk Batu Bersusun, Rumah Api Tinagat dan beberapa tempat lagi.

“Dengan kepelbagaian produk pelancongan ini, pastinya Tawau tidak hanya menjadi tempat persinggahan pelancong tetapi memastikan impian untuk menjadikan daerah ini sebagai destinasi pelancongan dapat dicapai,” katanya.

Hadir sama, Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Sr Mohd Yusrie Abdullah dan Presiden Majlis Perbandaran Tawau, Pang Pick Lim@Joseph.

Dalam majlis itu juga, sesi libat urus bersama pengusaha pelancongan di Tawau turut berlangsung bagi membincangkan permasalahan yang dihadapi selain bertukar pendapat mengenai hala tuju pelancongan berasaskan komuniti.

RELATED ARTICLES
Utama

Kerajaan negeri bantu penduduk kampung bayar bil elektrik tahun depan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular