Sektor pelancongan di Kunak diperhebat, tarik lebih ramai pelancong

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 15 Second

KUNAK : Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KePKAS) Sabah menerusi Lembaga Pelancongan Sabah (STB) akan terus memperkasa dan memperhebat lagi sektor pelancongan di daerah ini.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Jafry Arifin berkata, ianya akan dilaksanakan menerusi pelbagai program yang kini giat dijalankan Kementerianya menerusi STB.

“Sehingga kini, pelbagai usaha yang dilaksanakan termasuk memberi seminar dan latihan kemahiran dari segi kesedaran, keselamatan, dan pengurusan.

“Semua itu dilaksanakan kepada persatuan-persatuan pelancongan, pengusaha pelancongan desa, dan komuniti setempat yang terlibat dalam mengusahakan aktiviti pelancongan di kawasan masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan kerja ke daerah Kunak di sini semalam.

Bagi melengkapi usaha itu, Jafry juga telah mengadakan sesi dialog bersama Majlis Tindakan Pelancongan Daerah Kunak, dan semua pengusaha pelancongan di daerah itu semalam.

Katanya, Kementerian juga bersedia untuk menawarkan program upskilling dan reskilling pelancongan kepada penduduk di daerah itu agar mereka mampu bersaing secara signifikan bukan saja di negeri Sabah malah di peringkat antarabangsa.

“Banyak tempat menarik di daerah ini namun mungkin agak kurang dari segi promosi. Antara destinasi pelancongan yang berpotensi untuk dimajukan termasuk Gua Madai, Sungang Hot Spring, Binuang Mud Pool, Darvel Lagoon Kampung Hampilan dan banyak lagi.

“Kita mahu memastikan semua destinasi menarik di Kunak akan lebih dikenali oleh pelancong luar seterusnya usaha untuk mempromosi oleh STB akan terus dipertingkatkan,” katanya.

Beliau turut yakin bahawa daerah ini akan menjadi antara pilihan destinasi pelancongan yang terbaik di Sabah sekaligus menyumbang kepada pendapatan komuniti tempatan dan amnya ekonomi negeri Sabah. 

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *