SESB giat laksana operasi banteras aktiviti mencuri elektrik

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 10 Second

SANDAKAN : Operasi bagi membanteras aktiviti mencuri elektrik atau penyambungan haram di kawasan penempatan setinggan terus giat dilaksanakan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB).

Ketua Pegawai Eksekutif SESB, Ir Ts Mohd Yaakob Jaafar berkata, pihaknya telah melaksanakan ratusan operasi setiap tahun bagi mengekang dan mengawal aktiviti berkenaan.

“SESB sering menyuarakan dan menghebahkan mengenai bahayanya aktiviti seperti ini menerusi media cetak dan elektronik.

“Aktiviti seumpama ini bukan sahaja bahaya kepada pelaku penyambungan malah juga kepada harta benda dan orang awam,” katanya.

Mohd Yaakob berkata, penyambungan elektrik secara haram dan tidak selamat oleh penghuni penempatan setinggan ini akan meningkatkan lagi risiko keselamatan seperti kebakaran akibat litar pintas serta terkena renjatan elektrik.

Katanya, SESB akan terus melaksanakan operasi seperti ini dari semasa ke semasa dan orang ramai serta pemimpin masyarakat dinasihatkan agar menyalurkan maklumat segera jika mengesan perbuatan penyambungan haram di kawasan masing-masing.

“Ini bagi memastikan tindakan segera dapat diambil oleh pihak SESB kerana perbuatan seperti ini selain menyebabkan kerugian kepada SESB ia juga tidak selamat,” katanya.

Baru-baru ini, seramai 48 kakitangan kerja teknikal SESB dengan bantuan Polis, Suruhanjaya Tenaga, Majlis Daerah Sandakan (MPS) dan Jabatan Imigresen telah melaksanakan operasi membanteras sambungan haram yang bermula pada jam 9 pagi dan tamat pada jam 1 petang melibatkan 60 buah rumah di Kampung Mangkalinau dan Bandar Leetat pada Isnin lalu.

Dalam operasi itu, sejumlah 271.5 kilogram wayar dan kabel yang digunakan untuk penyambungan haram bekalan elektrik telah dirampas.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *