Pengurus Besar SLDB, Syaheddrul R. Joddari menanam pokok buah Avocado sempena Majlis Pecah Tanah SHAPE di Kg Iburu Sipitang.

SLDB menerajui pembangunan SHAPE bakal jadikan Sipitang hub pengeluar buah & ternakan bermutu tinggi

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:2 Minute, 10 Second

SIPITANG: Daerah ini akan menjadi hub pengeluar buah-buahan tempatan dan ternakan yang bermutu tinggi untuk pasaran tempatan dan eksport, apabila Sipitang Halal Agri Plantation Economic Development Hub (SHAPE) seluas 2,798 hektar di Kampung Iburu di sini, siap sepenuhnya.

SHAPE akan dibangunkan oleh Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (SLDB) dengan anggaran keseluruhan pelaburan sebanyak RM167 juta, dijangka mampu menarik pelaburan luar untuk melabur di Iburu, Sipitang.

Pengurus Besar SLDB, Syaheddrul R. Joddari berkata, projek itu akan dilaksanakan dalam 2 fasa, iaitu fasa 1 melibatkan Kawasan Iburu Komersial milik SLDB seluas 1,252 hektar dengan kos pembangunan sebanyak RM96.8 juta.

“Fasa kedua melibatkan kawasan Iburu Agropolitan seluas 1,133 hektar dicadang untuk dilaksanakan dengan kos sebanyak RM70.2 juta”.

“Konsep keseluruhan SHAPE yang berasaskan pertanian moden merupakan program pembangunan berfokuskan kepada pegeluaran, pemasaran dan pengedaran makanan segar dan kering untuk pasaran tempatan selain eksport ke negara Brunei Darussalam yang merupakan Hub Bekalan Makanan Halal Asia Tenggara”, katanya.

Majlis menandatangani MoU diantara SLDB dan koperasi penduduk kampung. – Foto ihsan SLDB

Beliau berkata demikian pada Majlis Pecah Tanah SHAPE di Kg Iburu Sipitang pada Selasa. Majlis itu dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin, Datuk Dr.Yusof Yacob, turut dihadiri oleh Pegawai Daerah Sipitang, Awangku Raimy Pg Abd Rahman.

Syaheddrul berkata, antara objektif SHAPE ialah menyumbang kepada peningkatan pendapatan negeri melalui aktiviti eksport yang secara langsung akan menyumbang kepada peningkatan KDNK negeri.

Beliau berkata, SHAPE juga akan membantu mengurangkan kebergantungan negeri pada produk import kerana terdapat tiga komponen dalam hub tersebut, iaitu Zon Hortikultur (Halia, Avocado, Nanas dan Durian), Zon Agricultutre (Kelapa dan Kopi), Zon Ternakan (Lembu dan Kambing), Zon Pentadbiran, Komersil dan R&D.

“Kita berharap dapat mewujudkan lebih ramai ‘Agro – Preneur’ muda di kalangan peserta yang lebih kompetitif dan mampan, selain mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada masyarakat luar bandar. Dianggarkan sebanyak 284 peluang pekerjaan diwujudkan pada Fasa 1 dan sebanyak 264 peluang pekerjaan pada Fasa 2.

“Pelaksanaan projek ini akan memberikan manfaat kepada seramai 2500 orang komuniti di sekitar Kampung Iburu. Komuniti yang berpendapatan tinggi melalui penglibatan dalam pelbagai aktiviti ekonomi dan peluang pekerjaan yang wujud”, tegasnya.

Syaheddrul berkata, SLDB juga menandatangai perjanjian persefahaman (MoU) bagi kerjasama mengusahakan tanaman durian musang king dan avocado serta meningkat pengeluaran hasil tanaman buah-buahan lain yang berpotensi tinggi bersama Koperasi Keluarga Balang Basi (KBB) melibatkan seramai 50 peserta dan Koperasi Kg. Iburu Sipitang Berhad (KKISB) seramai 32 peserta.

“SLDB menaruh harapan tinggi agar SHAPE dapat dijayakan sepenuhnya sekaligus menjadikan daerah Sipitang sebagai hub pengeluar buah-buahan tempatan dan ternakan yang bermutu tinggi disamping dapat membantu melahirkan usahawan tani yang berjaya”, tambahnya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *