KKSA Anjur Program Kecergasan Untuk Pemain Muda Skuash Sabah

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:2 Minute, 14 Second

KOTA KINABALU: Seramai 21 orang pemain skuash Sabah yang bernaung di bawah Persatuan Skuash Kota Kinabalu (KKSA) telah mengikuti kejohanan di peringkat kebangsaan, menyertai program Kempen Kesedaran Kecergasan untuk Pemain Skuash Elit Junior (Fitness Awareness Campaign for Elite Junior).

Program anjuran KKSA dengan kerjasama Majlis Sukan Negeri Sabah (MSNS) dan Heal Research Unit (HEAL), Fakulti Perubatan dan Kesihatan Bersekutu (FPSK), Universiti Malaysia Sabah (UMS) berlangsung selama dua hari pada 2 hingga 3 Julai lalu, di Heal Research Unit, FPSK dan Gelanggang Squash, Kompleks Sukan Likas, di sini.

Salah seorang peserta sedang menjalani ujian kecergasan.Foto ihsan KKSA

Ketua UNIT HEAL, FPSK, Prof. Madya Dr. D. Maryama Ag Daud berkata, program itu diadakan bertujuan untuk memberi kesedaran mengenai kepentingan elemen latihan kecergasan fizikal, disamping meningkatkan lagi semangat juang dalam kalangan pemain.

“Beberapa aktiviti yang memfokuskan kepada aspek praktikal meliputi ujian kecergasan serta demonstrasi latihan dan regangan amat penting bagi memastikan peserta memahami aspek asas kecergasan sekaligus mengelakkan risiko kecederaan ketika menjalani latihan atau menyertai kejohanan.

“Selain itu, program tersebut menggunakan khidmat kepakaran Dr. Mariam George Matthew yang merupakan salah soerang pakar perunding perubatan sukan di Hopsital Queen Elizabeth turut berkongsi beberapa aspek lain seperti kepentingan pemanasan badan dan kecergasan menerusi satu sesi ceramah khas kepada para peserta,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Menurut Dr. D. Maryama melalui program tersebut, ia membolehkan setiap pemain dapat mengenalpasti kekuatan dan kelemahan masing-masing untuk meningkatkan prestasi mereka sebagai pemain skuash yang lebih baik dalam menyertai kejohanan sama ada di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

“Program ini juga memberi peluang kepada pemain untuk meningkatkan kemahiran daya fikir mereka dalam memahami aspek kecergasan yang seterusnya dapat meningkatkan potensi diri sebagai seorang atlet,” ujarnya.

Malah melalui program tersebut, menurut Pengerusi Persatuan KKSA, Jessye Linog, sesi perkongsian berkaitan pengalaman atlet dilakukan bagi memastikan peserta bukan sahaja cemerlang sebagai atlet atau pemain skuash tetapi juga dalam bidang akademik dan kerjaya.

“Penganjuran Fitness Awareness Campaign ini merupakan satu platform untuk menerapkan kesedaran tentang kepentingan kecergasan fizikal serta meningkatkan persaingan secara sihat dalam kalangan pemain skuash. Malah aktiviti ini juga menyediakan peluang kepada atlet pemain skuash junior untuk memperolehi daya tahan keupayaan fizikal dan kecergasan fizikal mereka,” katanya.

Salah seorang peserta program yang ditemui Syaireezatul, 16, mengakui bahawa program ini memberi banyak manfaat kepada beliau dan antaranya mendedahkan beberapa aspek yang boleh membantu beliau meningkatkan aspek kecergasan sebagai pemain skuash.

Program Fitness Awareness Campaign boleh dijadikan wahana untuk merealisasikan hasrat Persatuan Skuash Kota Kinabalu khususnya, serta Sabah Squash Association dan Majlis Sukan Negeri Sabah dalam memastikan usaha pembangunan sukan skuash di negeri Sabah berjaya direalisasikan dan menjadikan sukan skuash sebagai salah satu sukan yang akan terus menyumbang kepada negeri Sabah di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *