Pandemik COVID-19 punca belia kurang aktif jalani amalan gaya hidup sihat

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 17 Second

TUARAN : Pandemik COVID-19 yang melanda negara sejak dua tahun telah menjadikan generasi belia sebagai pengguna teknologi dan media sosial yang tinggi menyebabkan golongan itu itu menjalani kehidupan yang tidak aktif.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, berdasarkan Indeks Belia Malaysia 2021 menunjukkan skor kesejahteraan mental dan fizikal belia berada di tahap sederhana.

Justeru itu katanya, perkara itu perlu ditangani melalui penglibatan belia dalam aktiviti sukan dan amalan gaya hidup.

“Sehubungan itu, Malaysia Sports League (MSL), sebuah inisiatif baharu dalam pembudayaan untuk bersukan khususnya bagi golongan belia,menyasarkan penyertaan 133,000 orang dan 2,232 program yang memberi manfaat kepada lima juta penyertaan di seluruh negara.

“Kerajaan percaya Model Baharu Pembangunan Belia 2030 yang sedang dirangka dapat direalisasikan sebagai agenda mutakhir bagi memperkasakan elemen belia sebagai sumber dan aset negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Belia Negara (HBN) 2022 peringkat Kebangsaan di Padang Pekan Tuaran di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor dan Menteri Belia dan Sukan Malaysia Datuk Seri Ahmad Faizal Datuk Azumu.

Ismail Sabri berkata, belia Keluarga Malaysia perlu sentiasa memenuhi masa dengan perkara-perkara yang berfaedah untuk diri, keluarga, masyarakat dan negara.

Dalam pada itu, beliau berkata, Hari Belia Negara peringkat kebangsaan yang diadakan di Tuaran tetap membawakan segmen Y-Career iaitu peluang kerjaya melibatkan 30 syarikat yang menawarkan 1,000 peluang pekerjaan untuk belia Keluarga Malaysia tempatan.

“Justeru, saya menyarankan agar belia di Tuaran menggunakan peluang ini untuk mengisi kekosongan jawatan yang ditawarkan bagi menjamin masa depan yang lebih baik,”katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *