Kerajaan peruntuk RM10 juta perkenal inisiatif SYABAS

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:2 Minute, 22 Second

TUARAN : Kerajaan bersetuju memperuntukkan sebanyak RM10 juta bagi memperkenalkan inisiatif baharu iaitu Program Skim Jaya Usahawan Belia Sabah (SYABAS).

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, ia adalah bagi menyantuni cadangan daripada kumpulan anak muda yang mahu memulakan perniagaan.

Katanya, inisiatif ini melibatkan bantuan kepada usahawan belia dan beliawanis untuk memulihkan perniagaan yang terkesan akibat pandemik COVID-19 dan bantuan memulakan perniagaan. 

“Kerajaan Negeri yang peka dan prihatin dengan isu pengangguran melibatkan golongan belia, telah melancarkan penyerahan bantuan motosikal BizRider300 sebanyak 300 buah motosikal kepada belia di negeri ini melalui Pihak Berkuasa Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (SEDIA), pada Khamis lalu.  

“Usaha ini adalah bertepatan dengan hasrat kerajaan untuk mengurangkan kadar pengangguran sekali gus memberi peluang pekerjaan dengan melakukan penghantaran makanan dan keperluan harian,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Sambutan Hari Belia Negara (HBN) 2022 Peringkat Kebangsaan di Padang Pekan Tuaran,di sini hari ini.

Sambutan HBN 2022 peringkat Kebangsaan dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub dan turut dihadiri Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Seri Ahmad Faizal Dato’ Azumu.

Hajiji berkata, bagi memperkasakan lagi modal insan di negeri ini, satu lagi inisiatif yang ditawarkan oleh kerajaan negeri melalui Belanjawan 2022 ialah inisiatif Felo Sabah Maju Jaya.

Katanya,  seramai 24 graduan sebagai kumpulan pertama telah dipilih untuk program bimbingan dan pembelajaran langsung selama enam bulan di 12 kementerian di negeri ini, bermula pada bulan Mac lalu.

Tambahnya,  program ini merupakan kerjasama pelbagai agensi termasuk Sekretariat Hala Tuju SMJ, Institut Kerjasama Kerajaan dan Rakyat (IKRAR) dan Majlis Belia Sabah (MBS). 

“Selain itu kerajaan juga menyediakan platform untuk generasi muda menyuarakan idea menerusi Majlis Perundingan Pelajar Sabah (MPPS).

“Saya sendiri telah menghadiri sesi perkongsian idea dan mendengar suara anak muda menerusi MPPS pada bulan Mei lalu. MPPS juga adalah inisiatif bersama IKRAR, Pejabat Menteri Tugas-Tugas Khas dan MBS.

“Saya melihat platform ini adalah medium terbaik untuk golongan muda mencatur masa hadapan negeri ini bersama kerajaan,” katanya.

Sementara itu, Hajiji juga mahu melihat anak-anak muda lebih inovaif, ‘berfikir di luar kotak’ dan menggunakan pendekatan baharu dalam cara bekerja serta berfiikir.  

“Golongan belia perlu lebih menonjol, dinamik dan proaktif serta bercita-cita untuk melangkaui sempadan tempatan. Terokai peluang, luaskan kemahiran anda,memupuk kreativiti dan berfikir secara kritis. Semua ini adalah antara kemahiran yang diperlukan untuk menjadi generasi yang cekap dan berdaya tahan,” katanya.

Beliau juga berterima kasih kepada semua warga belia selaku aset penting untuk negara, yang sentiasa bersama-sama kerajaan dalam membangunkan negeri ini dan negara.

“Semoga semua warga belia terus menyerlah menjadi belia yang berdaya saing dan dapat memberi sumbangan dalam menjayakan Hala Tuju Sabah Maju Jaya. Kerajaan juga akan sentiasa mengiktiraf sumbangan, pencapaan, usaha dan suara seluruh warga belia”, katanya.

Lebih 5,000 warga belia berkumpul di Tuaran bagi meraikan sambutan Hari Belia Negara 2022, dengan tema tahun ini “Ini Masa Kita”.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *