Kerajaan Negeri fokus bangun modal insan pacu pembangunan Sabah

Read Time:1 Minute, 18 Second

Oleh ERDIE AB WAHID
[email protected]

TUARAN: Kerajaan Negeri akan terus memberi penekanan terhadap pembangunan modal insan khususnya golongan belia dalam agenda memacu pembangunan negeri Sabah.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, Kerajaan turut memberi penekanan kepada teras kedua Pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) iaitu Pembangunan Modal Insan dan Kemakmuran Rakyat.

Katanya, sektor utama Hala Tuju SMJ dalam meransang pertumbuhan dan pemulihan ekonomi turut sama diberi tumpuan oleh Kerajaan.

“Berdasarkan data yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia bagi tahun 2022, Sabah merekodkan jumlah populasi belia berusia 15 hingga 40 tahun lebih daripada 50 peratus dalam tahun 2020.  

“Hakikatnya bukan hanya jumlah populasi yang dilihat tetapi,sebagai generasi penting dalam memacu pembangunan pada masa hadapan, golongan belia tidak akan dikesampingkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Sambutan Hari Belia Negara (HBN) 2022 Peringkat Kebangsaan di Padang Pekan Tuaran, hari ini. 

Sambutan HBN 2022 peringkat Kebangsaan dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub dan turut dihadiri Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Seri Ahmad Faizal Dato’ Azumu.

Hajiji berkata, Kerajaan Negeri telah menyediakan pelbagai program dengan berpandukan tuntutan semasa dan cabaran mendatang.

Katanya, ini termasuklah memperuntukkan sebanyak RM95.89 juta kepada Kementerian Belia dan Sukan Sabah dalam Belanjawan 2022 negeri, bagi melaksanakan pelbagai inisiatif pembangunan belia terutamanya dalam program peningkatan kemahiran dan latihan semula.

“Tumpuan kita adalah kepada kebolehpasaran pekerja dan padanan bakat pekerjaan bagi melahirkan golongan belia yang berdaya saing.

“Ini adalah antara usaha kerajaan bagi merealisasikan hasrat belia yang ingin menyumbang kepada pembangunan modal insan, ekonomi serta kesejahteraan sosial di Sabah,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.